Isytihar Klebang kawasan ‘hijau’ pertanian

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KLEBANG 22 Julai – Usaha Kerajaan Negeri menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang sebagai kawasan hijau pertanian negeri disambut baik Datuk Lim Ban Hong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang itu berkata, usaha tersebut sekali gus dapat membantu aspek keterjaminan makanan di negeri ini pada masa akan datang.

Katanya, usaha mewartakan sawah padi di DUN berkenaan sebagai antara kawasan jelapang padi Selatan juga amat disokong kerana ia dapat mengelakkan lebih banyak tanah-tanah sawah dijual dan dimajukan dengan projek pembangunan atau perumahan.

“Selama ini kita bimbang apabila ada lebih banyak projek pembangunan dimajukan, ia boleh mendatangkan masalah dalam sektor pertanian seperti contoh sistem pengairan untuk tanaman tidak dapat dilakukan secara sistematik.

“Jadi, apabila ia diwartakan, sedikit sebanyak memberi jaminan kepada pengusaha pertanian sama ada pesawah atau petani untuk terus menyumbang kepada penghasilan makanan untuk rakyat.

“Pada masa sama, hal ini juga dapat memberi keseimbangan kepada ekosistem Negeri Melaka, selain memfokuskan kepada bidang pelaburan dan pelancongan,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ban Hong turut menyarankan pesawah dan petani di negeri ini beralih kepada pertanian moden yang berupaya meningkatkan hasil pertanian.

“Transformasi perlu dilakukan daripada pertanian berteras sumber manusia kepada teras teknologi, automasi dan lain-lain.

“Saya percaya, transformasi ini juga dapat menggalakkan lebih ramai anak muda terlibat dalam bidang pertanian, sekali gus meningkatkan lagi hasil tani di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

135
Kongsi :
Previous post Ilmu sembelihan halal wajar diperluaskan kepada anak muda
Next post Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut digilis
Ubah saiz-+=