Isu Zii Jia, Jin Wei dan BAM selesai, kepentingan negara diutamakan
Dua hari selepas Zii Jia, pemain di ranking ketujuh dunia diberi lampu hijau untuk menjadi pemain profesional, bekas juara dunia remaja Jin Wei diberikan ‘restu’ sama oleh BAM untuk meneruskan karier badmintonnya.
Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata kedua-dua pemain kini dibenarkan berpisah dari badan induk sukan itu dengan persetujuan bersama tanpa sebarang tindakan lanjut dikenakan ke atas mereka.
Kedua-dua pemain negara itu juga layak mendaftar kejohanan antarabangsa berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata dalam perkara berkaitan Jin Wei, BAM bersetuju menerima perletakan jawatan (sebagai pemain kebangsaan) daripada bekas pemenang pingat emas Sukan SEA itu sebagai sah apabila beliau mengumumkan persaraannya atas sebab kesihatan pada September lepas.
Mengulas mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, Mohamad Norza berkata Perdana Menteri gembira apabila dimaklumkan bahawa penyelesaian secara baik berjaya dicapai antara BAM dan pemain.
“Kita telah maklumkan kepada beliau bahawa perkara ini sudah selesai, beliau sangat gembira. Perdana Menteri berkata isu melanda badminton yang juga antara sukan utama negara telah mendapat perhatian semua pihak.
“Beliau turut memberikan motivasi kepada Zii Jia dan Jin Wei untuk melakukan yang terbaik demi negara walaupun sudah bergelar pemain profesional,” katanya Mohamad Norza ketika dihubungi.
Sementara itu, Jin Wei menerusi laman Facebook mengucapkan terima kasih kepada Ismail Sabri, BAM, Mohamad Norza serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang membantu dalam menyelesaikan isu itu secara baik dan berikrar untuk terus menjulang badminton Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Saya sentiasa bersyukur dan berterima kasih atas semua sokongan dan tunjuk ajar daripada Tan Sri Norza, BAM, jurulatih dan semua kakitangan sokongan sejak hari pertama saya menyertai.
“Dan akhir sekali, saya ingin mengucapkan teriuma kasih kepada anda semua atas sokongan berterusan sepanjang karier saya. Saya berharap anda semua terus menyokoong BAM dan saya, ketika saya memulakan perjalanan baharu sebagai pemain profesional,” katanya.
Pada Jumaat (21 Jan), BAM mengumumkan bahawa pihaknya tidak akan mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan dalam tempoh dua tahun berkuat kuasa 18 Jan selepas pemain negara itu menghantar surat untuk keluar dari BAM pada 11 Jan.
Bagaimanapun, pada Selasa (25 Jan), Mohamad Norza memberi lampu hijau kepada Zii Jia untuk bergerak sebagai pemain profesional selepas menerima surat rayuan dan mengadakan perbincangan dengan pemain itu.
Jin Wei turut menghantar surat rayuan berhubung penggantungan selama dua tahun yang berkuat kuasa 31 Okt 2021 kerana meninggalkan BAM, dengan alasan mahu bersara berikutan masalah kesihatan dialami sejak September lepas sebelum membuat pusingan U dengan keputusan bergerak sebagai pemain profesional. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.