Sorting by

×

Isu pemanjangan jeti: Pelabuhan Tanjung Bruas, KMB perlu beri penjelasan

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PAYA RUMPUT 14 Mac. – Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dan Pelabuhan Tanjung Bruas perlu memberikan penjelasan berhubung isu projek tambakan laut dan penyambungan jeti Tanjung Bruas seperti didakwa nelayan di Tanjung Kling, baru-baru ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, buat masa ini pihaknya tidak pernah menerima permohonan atau meluluskan pelaksanaan jeti baharu sepanjang 600 meter seperti didakwa.

Ujarnya, siasatan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mengetahui lebih lanjut berhubung isu berkenaan.

SULAIMAN…akan dapatkan maklumat lanjut isu projek tambakan laut dan penyambungan jeti Tanjung Bruas seperti didakwa nelayan Tanjung Kling.

“Setakat ini tiada dalam pengetahuan saya ada pembinaan satu jeti sepanjang 600 meter. 600 meter itu lebih setengah kilometer dan bagi saya memang sangat panjang.

“Jadi, saya akan bertanya kepada KMB dan Pelabuhan Tanjung Bruas jika benar ada jeti sepanjang itu. Ini kerana apa jua pembinaan atau perancangan mesti dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri dan perlu mendapat kelulusan daripada beberapa agensi seperti Jabatan Laut Malaysia dan sebagainya.

“Banyak lagi perkara perlu diambil kira terutama jika ia boleh menjejaskan pendapatan nelayan di kawasan itu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, sekiranya benar berlakunya sebarang aktiviti pemanjangan atau pelebaran jeti di kawasan terbabit, pihaknya akan meminta kajian terperinci dijalankan terlebih dahulu.

Selain itu, katanya, pihak KMB dan Pelabuhan Tanjung Bruas juga perlu berjumpa dengan wakil rakyat kawasan dan persatuan nelayan yang terlibat bagi memperjelaskan mengenai perkara itu.

“Perkara ini perlu dijelaskan dan mendapat pandangan ramai pihak. Jika semuanya selesai barulah boleh dibawa ke peringkat negeri untuk mendapat kelulusan,” katanya.

Baru-baru ini, Melaka Hari Ini melaporkan kira-kira 300 nelayan termasuk nelayan berdaftar di perairan Tanjung Kling bimbang apabila mata pencarian terjejas akibat projek penambakan laut dan pembinaan jeti pelabuhan berhampiran Jeti Nelayan Kampung Hailam, sejal awal bulan ini.

Mereka mendakwa, projek pembinaan jeti pelabuhan kira- kira 600 meter itu menyukarkan nelayan turun ke laut hinggakan ada di antara mereka terpaksa menangkap ikan berhampiran Pulau Besar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1643
Kongsi :
Previous post Tolong bantu Makcik Bedah, Pak Mat daftar vaksin – Sulaiman
Next post Melaka pohon bina 10 masjid baharu
Ubah saiz-+=