Isu kenaikan kos sara hidup antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, soalan itu diajukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) kepada Perdana Menteri semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) pula meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar bagi tempoh 2020 hingga kini, serta langkah kerajaan bagi menghapuskan kemiskinan tegar.
Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang mengajukannya kepada Menteri Wilayah Persekutuan mengenai pelan jangka panjang dan pendek supaya Kuala Lumpur bebas daripada banjir, termasuk banjir kilat yang sering melanda apabila hujan lebat.
Selain itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) dijangka meminta Perdana Menteri menyatakan program dan formula yang akan dirangka kerajaan untuk meningkatkan kesedaran pengundi muda akan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi.
Isu mengenai Perang Rusia-Ukraine pula disentuh Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) melalui soalan yang diajukan kepada Menteri Luar iaitu langkah yang diambil kerajaan untuk membendung kesan secara tidak langsung peperangan itu khususnya kepada ekonomi.
Beliau juga bertanyakan mengenai usaha kerajaan untuk memastikan rantau ini tidak akan terlibat secara langsung dalam mana-mana proksi yang akan memberi kesan buruk kepada negara.
Selepas sesi soal jawab, mesyuarat itu bakal menyaksikan sama ada pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dapat dilaksanakan atau ditangguh buat kali ketiga.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.