Sorting by

×

Isu keganasan global: Jangan leka – Ahmad Zahid

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SUNGAI UDANG 11 Ogos – Biarpun Malaysia berada pada kedudukan negara ke-10 terselamat mengikut Global Peace Index namun ia bukanlah tiket untuk terus leka dalam ancaman keselamatan dunia yang lebih dinamik dan mencabar kini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia memandangkan negara turut menghadapi ancaman dalam dan ‘lone wolf’ malah radikalisasi melalui media sosial dan propaganda ekstremis boleh mempengaruhi individu untuk terlibat dalam aktiviti keganasan.

Justeru, katanya, penganjuran Program Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (EX COMSEC) 2024 adalah salah satu usaha Kerajaan untuk memastikan kesejahteraan masyarakat berada pada tahap yang paling optimum.

“Ia sekali gus mewujudkan persekitaran Malaysia yang sentiasa selamat dan kondusif kepada seluruh rakyat dan sesiapa sahaja yang berada di negara ini.

“Justeru melalui Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, konsep Keselamatan Menyeluruh (COMSEC) yang diperkenalkan haruslah digerakkan secara berterusan menerusi kerjasama pelbagai pihak merentasi sektoral yang memerlukan tindakan intergrasi dari aspek dasar, strategi, tindakan operasi dan pengurusan sumber,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (EX COMSEC) 2024 di Melaka Energy Park, Sungai Udang di sini hari ini.

Img 20240811 190142 145
PROGRAM Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (EX COMSEC) 2024 bertempat di Melaka Energy Park, Sungai Udang di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan kenamaan lain.

Tambahnya, latihan seperti ini bukan sahaja penting untuk melindungi negara, malahan keselamatan individu dan komuniti secara keseluruhannya serta perlu diteruskan pelaksanaaannya.

“Ini menjadi ruang menguji dan menilai keupayaan, meningkatkan kesiapsiagaan dalam setiap tindakan mengikut pelan kecemasan agensi masing-masing serta mengenal pasti kelemahan dan jurang dalam kalangan kementerian, agensi, sektor swasta dan komuniti dalam prosedur operasi standard dan Pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP), katanya.

Terdahulu, latihan EX COMSEC 2024 disertai 33 agensi dan hampir 1,700 peserta termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Pejabat Ketua Keselamatan Kerajaan Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

382
Kongsi :
Previous post Sungai Rambai dilantik DUN Angkat UPM
Next post Bantuan segera untuk mangsa banjir Masjid Tanah – KM
Ubah saiz-+=