Sorting by

×

Isu habuk arang batu: Syarikat terlibat akur selesaikan masalah

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PANTAI KUNDOR 22 Okt. – Masalah membabitkan pencemaran habuk arang batu yang membelenggu penduduk di Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling, di sini dijangka selesai dalam tempoh dua bulan.

Itu jaminan yang diberikan pihak pengurusan Pelabuhan Tanjung Bruas bersama syarikat arang batu dan kerajaan negeri dalam satu mesyuarat yang diadakan, hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan, beberapa kesepakatan juga telah dicapai bagi mencegah masalah berkenaan daripada berulang menerusi perbincangan bersama wakil penduduk.

Jelasnya, antara jalan penyelesaian yang bakal diambil termasuklah membina tembok di kawasan pelabuhan untuk mengurangkan habuk terbang ke rumah penduduk, selain menukar lori yang lebih sesuai untuk membawa muatan arang batu untuk mengelakkan muatan arang batu berteraburan di atas jalan raya.

“Selain itu, had muatan arang batu juga akan dikawal dan dipantau pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta syarikat juga telah bersetuju untuk mencari satu tapak yang sesuai untuk parkir lori-lori berkenaan agar tidak mengganggu penduduk.

“Selain itu, pihak syarikat juga telah bersetuju untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada penduduk yang terjejas seperti membersihkan rumah penduduk, membekalkan sabun dan lain-lain yang bersesuaian.

“Apa pun, kita akan terus memantau perkara ini dari semasa ke semasa untuk mengelakkannya berulang,” katanya ketika ditemui di kawasan pemunggahan arang batu di Jeti Tanjung Bruas, di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut masalah berkenaan, Nor Azman berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk membatalkan terus perkhidmatan arang batu di kawasan pelabuhan berkenaan, sekiranya masalah sama berulang lagi.

“Kita difahamkan kontrak arang batu ini selama tiga tahun dan dijangka tamat pada 16 April tahun depan. Jadi ada tempoh tidak sampai setahun lagi untuk kita meneliti perkara ini.

“Jika tiada perubahan mengenai masalah habuk itu kita memohon agar perkhidmatan ini dihentikan di kawasan ini,” katanya.

Selain membincangkan mengenai masalah penduduk sekitar pelabuhan Nor Azman berkata, mesyuarat berkenaan turut menyentuh mengenai masalah nelayan yang turut terjejas disebabkan lambakan kapal-kapal yang membawa muatan arang batu di perairan negeri ini.

Views:

1577
Kongsi :
Previous post Kajian perlu dilakukan untuk kenal pasti punca hakisan pantai
Next post ITP berperanan sebagai agensi pemikir, penggerak kemajuan Melaka
Ubah saiz-+=