Isu Bukit Melaka: ‘YB Along’ tegur ADUN Kesidang
SERI NEGERI 3 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan menegur tindakan wakil pembangkang yang cuba mempolitikkan isu Bukit Melaka di laman sosial.
Menurutnya, tindakan ADUN Kesidang Allex Seah Shoo Chin di laman Facebook pagi tadi seolah-olah cuba meruntuhkan hubungan sesama kaum dengan mengadu-domba kepada rakyat isu yang tidak sepatutnya.
“Mungkin Yang Berhormat Kesidang tidak berniat (meruntuhkan hubungan kaum), tetapi ada di antara mereka yang membaca mungkin boleh salah faham.
“Kenapa perlu sindir? Kalau Bukit St Paul tukar kepada Bukit Melaka bukankah ia dapat naikkann nama Melaka, iaitu negeri kita sendiri?,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penangguhan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini.
Mengulas lanjut, Fairul yang mesra dengan panggilan Along berkata, pertukaran nama itu sama sekali tidak menukar fakta sejarah dan ia bukanlah satu-satunya fokus kerajaan negeri pada hari ini.
Beliau mendakwa, jika diungkit tentang pertukaran nama, era Pakatan Harapan (PH) lebih banyak nama telah ditukar dan membazirkan wang contohnya seperti menukar nama Klinik 1 Malaysia kepada Klinik Komuniti, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) dan lain-lain lagi.
“Saya sayangkan Yang Berhormat Kesidang dan saya sayang semua. Kita hidup dari kecil secara harmoni dengan semua bangsa ada.
“Janganlah disebabkan politik, kita cemarkan hubungan kaum sesama kita,” katanya.
Terdahulu, Allex Seah Shoo Chin dalam satu hantaran di laman Facebooknya mempersoal tindakan pertukaran nama itu dan menyuarakan kebimbangan lebih banyak nama tempat akan ditukar pada masa akan datang
“Adakah nama Bukit Cina akan menjadi sasaran kemudian? Tiada benda lain yang lebih penting untuk dibuat daripada tukar nama?
“Tukar nama kemudian akan tarik ramai pengunjung ke Melaka? Kemudian apa lagi? Nama A-Famosa? Bukit St John? SMK St David?,” tulisnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.