Sorting by

×

Isu Bukit Melaka: Apa salah jika tambah nama? – KM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 3 Mac – “Ada apa pada nama dan apa salah jika tambah nama?” Itu respon Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berhubung isu Bukit St Paul yang akan dikenali sebagai Bukit Melaka.

Beliau berkata, perkara tersebut tidak seharusnya menjadi isu, sebaliknya semua pihak perlu berlapang dada mengenai cadangan dan keputusan itu.

Menurutnya lagi, beliau mewakili kerajaan negeri juga tidak mempunyai halangan sekiranya dua nama itu (Bukit Melaka dan Bukit St Paul) dikekalkan dan diletak atas satu papan tanda.

“Tiada masalah, jika hendak letak nama Bukit Melaka – Bukit St Paul pun boleh atau letak Bukit Melaka (Bukit St Paul) pun boleh.

“Mungkin dengan cara itu dapat bantu orang tahu nama Bukit Melaka dan Bukit St Paul itu.

“Lagipun apa salah jika tambah nama. Sedangkan orang pun ada banyak nama. Jadi ia tak menjadi masalah asalkan orang tahu kewujudan kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas ucapan penggulungan penangguhan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Speaker DUN Datuk Wira Ibrahim Durum menangguhkan persidangan berkenaan pada jam 2.26 petang tadi.

Terdahulu, isu mengenai pertukaran nama Bukit St Paul kepada nama asalnya Bukit Melaka sedikit kecoh dalam persidangan berkenaan selepas ia dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banda Hilir Leng Chau Yen.

Chau Yen mendakwa tindakan menukar nama itu seolah-olah satu cubaan untuk menukar sejarah sebelum EXCO Warisan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis bingkas menjawab bahawa pertukaran itu sebagai menghormati sejarah asal nama bukit berkenaan sebelum era penjajahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

917
Kongsi :
Previous post Polis tumpaskan tiga aktiviti lombong kripto bernilai RM60,000
Next post KKM sasar 90 peratus saringan pendengaran bayi dalam tempoh tiga tahun
Ubah saiz-+=