Isu beku pekerja asing: Perbincangan kerajaan dengan Indonesia bermula hari ini
Beliau berkata perbincangan yang turut melibatkan Jabatan Imigresen dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu akan meneliti isu-isu dibangkitkan kedua-dua pihak yang memerlukan sedikit perubahan.
“Perbincangan dengan pihak Indonesia adalah untuk memastikan supaya segala salah faham, silap komunikasi yang ada, dapat diselesaikan dengan secepatnya.
“Suka saya ingatkan, kita (Kementerian Dalam Negeri dan KSM mewakili kerajaan, akan sentiasa pastikan pengurusan pekerja asing di Malaysia sentiasa berlandaskan kedaulatan undang-undang negara dan pada masa sama menjamin bahawa semua pekerja asing yang berada di Malaysia dilindungi secara saksama mengikuti undang-undang yang ada dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama KDN dan KSM mengenai pengurusan pekerja asing di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman di sini hari ini.
Minggu lepas Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono memaklumkan mengenai keputusan Indonesia mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja negara itu memasuki Malaysia sejak 13 Julai.
Ini berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan System Maid Online (SMO) dalam urusan permohonan pembantu rumah warga asing oleh majikan, biarpun kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran iaitu One Channel System (OCS) menerusi memorandum persefahaman (MoU) Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) yang dicapai pada April lepas.
Menurut Hamzah, pihaknya mengakui langkah pembekuan itu memang berkaitan dengan OCS namun dalam perjanjian yang ditandatangani, telah dimaklumkan bahawa segala kekhilafan (masalah) yang akan timbul tidak sepatutnya dikongsi kepada media.
“Saya tak payahlah sebut apa, biar kita bincang dalam itu (mesyuarat),“ katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.