Sorting by

×

ISTERI MAUT, SUAMI PARAH DIREMPUH 4X4 DARI BELAKANG

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KESIDANG 26 April – Hajat sepasang suami isteri untuk keluar makan malam bersama tidak kesampaian apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Balai Panjang, di sini, malam tadi.

Kemalangan kira-kira jam 11 malam itu mengakibatkan pembonceng motosikal Roslinah Sinan, 53, maut di lokasi kejadian manakala suaminya berusia 57 tahun, parah.

Difahamkan, ketika kejadian pasangan itu dalam perjalanan ke kedai makan dari rumahnya di Angkasa Nuri ke Balai Panjang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kemalangan mangsa yang menaiki motosikal Honda Wave 125 dalam perjalanan dari arah Malim menghala Balai Panjang manakala pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton pula dari arah Malim menuju ke Bachang.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal dinaiki pasangan suami isteri berkenaan berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah pacuan empat roda dari arah belakang.

“Akibat rempuhan itu pembonceng motosikal disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala penunggang motosikal pula parah di kepala dan badan,” katanya.

Christopher berkata, bagaimana pun identiti pemandu pacuan empat roda itu belum diperolehi kerana didakwa melarikan diri sejurus kemalangan berlaku.

“Usaha mengesan pemandu itu dilakukan bersama pengurus tempat kerjanya kerana kenderaan terbabit adalah milik lelaki terbabit.

“Mayat mangsa di hantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat manakala suaminya turut dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan,” katanya.

Jelasnya, kedua-dua kenderaan yang terbabit kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi tindakan lanjut.

“Rakaman percakapan saksi yang berada di tempat kejadian sudah diambil dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1247
Kongsi :
Previous post MELAKA RAYU KPKT SEGERAKAN PEMBINAAN LOJI WTE
Next post RAYA MERIAH DI SUNGAI UDANG