Sorting by

×

Isteri Ketua Menteri santuni petugas barisan hadapan sempena Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 29 April. – Isteri Ketua Menteri Datin Seri Utama Munira M. Yusop menyantuni petugas barisan hadapan dan pelajar tahfiz dengan menyerahkan 1,600 pek makanan Iftar Ramadan di Seri Bendahara di sini, hari ini.

Program tahunan anjuran Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri (BISTARI) Melaka itu bertujuan bagi berkongsi rezeki kepada golongan itu yang banyak berkorban masa dan tenaga melakukan tugas kepada rakyat selain menyemarakkan lagi kemuliaan Ramadan.

Munira berkata, sebanyak 1,100 pek yang mengandungi makanan termasuk rendang, nasi himpit dan buah kurma diserahkan kepada petugas barisan hadapan seperti Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, sebanyak 500 pek makanan lagi diserahkan kepada pusat tahfiz dan madrasah di negeri ini.

“Kami biasanya menganjurkan aktiviti berbuka puasa bersama namun tahun ini kami mengambil pendekatan dengan memberikan sumbangan makanan kepada golongan itu.

“Pemberian itu bukan sahaja berkongsi kegembiraan malah berkongsi rezeki kepada golongan yang banyak berkorban masa dan tenaga kepada rakyat Melaka.

“Dengan cara ini dapat sekurang-kurangnya mereka dapat menikmati apa yang kita kongsikan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) pada Program Khatam Al-Quran dan penyampaian bantuan makanan Iftar Ramadan di sini, hari ini.

Hadir sama mewakili petugas barisan hadapan yang menerima bantuan itu adalah Pengarah JBPM negeri, Abu Obaidat Mohamad.

Terdahulu, beliau bersama 25 ahli BISTARI negeri berkesempatan mengadakan program tadarus dan khatam Al-Quran di lokasi sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

862
Kongsi :
Previous post MUFC ‘tempang’ hadapi Kedah FC di Jebat
Next post Rumah terbuka Aidilfitri mungkin tidak dibenarkan tahun ini
Ubah saiz-+=