Sorting by

×

ISLAM CERMINAN PERIBADI MUSLIM

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PENGKALAN BATU 17 September – Anugerah Khas Maulidur Rasul 1446H adalah satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan kepada organisasi yang menyumbang kepada kemaslahatan ummah, urus tadbir pengurusan yang terbaik serta cemerlang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebanyak enam kategori anugerah disampaikan bersempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri tahun ini.

Katanya antara disampaikan adalah anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Kariah Terbaik; Pengurusan dan Pentadbiran Surau Kariah/Taman Terbaik; Pengurusan dan Pemuliharaan Tanah Perkuburan Islam Terbaik; Pengurusan Dan Pentadbiran Institusi Pendidikan Islam Swasta (Ipis) Terbaik; Koperasi Masjid/Surau Terbaik; dan Pemegang Sijil Pengesahan Halal Negeri Melaka Kategori (IKS).

“Besar harapan saya agar penganugerahan ini menyuntik motivasi kepada semua institusi dan organisasi agama terutamanya dalam menyampaikan perkhidmatan cemerlang.

“Apatah lagi, tahun ini negeri Melaka menjadi tumpuan kepada dunia luar menerusi Tahun Melawat Melaka (TMM2024) maka, saya mahu semua jabatan dan agensi agama Islam memberi contoh yang terbaik dengan menyantuni pelancong serta pengunjung yang datang ke Melaka sebaik-baiknya, jadikan agama ini sebagai cerminan terbaik sehingga mampu menjadi teladan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024 di Dataran Pusat Islam, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Barisan Exco Kerajaan Negeri; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Dalam pada itu katanya, Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeru Melaka yang menjadi acara wajib tahunan menyemarakkan lagi hati nurani umat islam dalam memperingati Baginda Nabi Muhammad S.A.W.

“Untuk makluman, kerajaan negeri melalui JAIM dan MAIM telah menganjurkan lebih 20 program sepanjang berlangsungnya Karnival Semarak Cinta Rasul di negeri Melaka dengan mencatatkan lebih 15,000 pengunjung.

“Pengisian program yang bermanfaat seperti majlis keagamaan, program ilmiah dan aktiviti dakwah tentunya mampu mendorong ke arah mencapai hasrat negara dalam memperkukuh gagasan Malaysia MADANI berpandukan keperibadian Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai uswah sebenar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

116
Kongsi :
Previous post JAMBATAN MELAKA SENTRAL FASA 2 DITUTUP KEPADA ORANG RAMAI
Next post TABUNG AMAL JARIAH NEGERI MELAKA MEDIUM INFAQ MASYARAKAT
Ubah saiz-+=