Isham Jalil dilantik Ketua Penerangan UMNO, ganti Shahril Hamdan
Ahmad menerusi catatan di akaun Twitternya memaklumkan pelantikan Isham dibuat oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikut Fasal 9.6 Perlembagaan UMNO berikutan peletakan jawatan Shahril Hamdan hari ini.
Sementara itu, Isham dalam catatan di Facebooknya berkata beliau dimaklumkan mengenai pelantikan tersebut oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahmad setelah perbincangan dengan kepimpinan tertinggi parti.
“Surat rasmi telah ditandatangani oleh kepimpinan parti. Saya ucapkan terima kasih atas pelantikan dan kepercayaan parti terhadap saya.
Walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang akan kita tempuhi bersama di kala ini, kita tidak boleh berputus asa, tanggungjawab ini berat lebih-lebih lagi di kala kita berada dalam kekalahan dan kesempitan ini,” kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Shah Alam itu.
Isham berkata pembaharuan perlu dibuat kepada parti dari dalam dan beliau memberi jaminan tidak akan lari daripada perjuangan serta terus istiqamah dan berkorban untuk parti bersama akar umbi demi agama, bangsa dan tanah air.
“Sebab itu saya terima tanggungjawab ini dan akan memegang amanah ini dengan sebaiknya walaupun kita sudah tidak punya apa-apa,” katanya.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam menyaksikan BN mencatat prestasi kurang memberangsangkan apabila hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen berbanding pencabarnya Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 82 kerusi manakala Perikatan Nasional meraih 73 kerusi Parlimen. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.