IRIS meterai kontrak bernilai RM1.2 bilion dengan KDN
KUALA LUMPUR, 26 Mei – IRIS Corporation Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) menandatangani kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bertarikh 25 Mei, 2022 yang bernilai RM1.12 bilion dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Dalam kenyataan pada Khamis, penyedia produk dan penyelesaian pengenalpastian dipercayai terkemuka serta inovator teknologi berstatus MSC itu menjelaskan projek tersebut melibatkan pembangunan, penyiapan dan penyepaduan keseluruhan NIISe untuk Jabatan Imigresen Malaysia.
IITS menerima surat lantikan untuk projek NIISe daripada KDN pada 29 Jan, 2021 dengan tempoh kontrak selama 54 bulan mulai 1 Mac, 2021 sehingga 31 Ogos, 2021, jelasnya.
“IITS gembira diberikan projek ini dan ia menunjukkan pengiktirafan terhadap keupayaan dan kepakaran syarikat.
“NIISe akan memodenkan Jabatan Imigresen menerusi pelaksanaan apllikasi digital terkini dan paling canggih,” menurut IRIS.
IITS sedang bekerjasama rapat dengan KDN untuk membangunkan dan menyiapkan projek NIISe secara efektif, tambahnya.
IRIS menjelaskan, sebagai peneraju dalam membangunkan e-pasport pertama di dunia pada 1998, pihaknya kini meneruskan usaha dengan memperluas jejak globalnya ke 34 negara di seluruh dunia.
“Berlandaskan pengalaman luas sejak sekian lama, kami yakin IITIS akan dapat melaksanakan projek ini dengan jayanya,” menurutnya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.