IPT milik Kerajaan Negeri perlu lakukan anjakan paradigma
AYER KEROH 21 Oktober – Semua institusi pengajian tinggi (IPT) milik Kerajaan Negeri perlu meningkatkan nilai tambah dalam setiap program ditawarkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia bagi memastikan setiap institusi itu memenuhi kehendak pasaran semasa.
“Ini termasuklah menawarkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang telah menjadi hala tuju utama negara dalam industri pekerjaan.
“Bagaimanapun, ia bergantung kepada kebolehpasaran bidang yang hendak kita (institusi) itu tawarkan, terutamanya melibatkan permintaan daripada industri.
“Dalam dunia yang menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) ini, maka kemahiran TVET ini amat diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Istiadat Konvokesyen MiCoST Kali Ke-9 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Datuk Abd. Azis merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah MiCoST.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MiCoST, Datuk Azmi Sabtu; Pengurus Besar Yayasan Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf menegaskan bidang TVET tidak lagi menjadi pilihan kedua, sebaliknya pilihan utama negara.
“Sekarang saya lihat TVET menjadi pilihan utama, banyak negara-negaa yang menawarkan pendidikan TVET secara percuma.
“Antaranya, Jerman yang menawarkan pendidikan percuma kepada sesiapa sahaja yang mahu melanjutkan pengajian dalam TVET.
“Di Malaysia pula siapa yang belajar TVET diberikan elaun oleh kerajaan untuk menyediakan bekalan tenaga manusia kepada industri pelaburan dalam bidang teknologi tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.