IPMUDA pembekal bahan binaan patuh syariah pertama di Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KUALA LUMPUR 1 Sept – IPMUDA Bhd menjadi pembekal bahan binaan patuh syariah pertama di Malaysia susulan pelaksanaan prosedur pematuhan syariah oleh syarikat itu.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, prosedur itu akan diperkenalkan kepada semua produk bahan binaan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh segmen perniagaan bahan binaan syarikat, antaranya, jubin, barang besi, alat kelengkapan sanitari, dan sistem rumah pasang siap (IBS) termasuk jenama keluaran syarikat seperti Ortolani, Concord dan Duraset.

Prosedur patuh syariah ini dapat mengetengahkan amalan perniagaan beretika dan tanggungjawab sosial korporat melalui terma dan syarat perjanjian yang telus, sekali gus mengelakkan syarat terselindung, khususnya dari segi caj dan fi tambahan.

“Kumpulan juga akan menghentikan sebarang faedah kompaun atau denda terhadap pelanggan dengan hanya mengenakan caj berdasarkan kos sebenar daripada tunggakkan bayaran, selaras dengan prinsip ta’widh syariah.

“Sebarang lebihan kutipan melangkaui kos sebenar akan disalurkan kepada organisasi kebajikan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat, khususnya akan menyalurkan bantuan berkaitan dengan aktiviti utama syarikat seperti pembekalan tenaga hijau di kawasan pedalaman melalui pemasangan panel solar dan turbin mikro hidro,” katanya.

Selain itu, pelanggan yang membuat bayaran atau penjelasan awal akan menikmati lebih keuntungan melalui rebat dan harga lebih murah di bawah prinsip Ibra’ syariah, yang lebih menguntungkan pelanggan.

KETUA Pegawai Eksekutif IPMUDA Bhd, Jeffri M. Yusup.

Ketua Pegawai Eksekutif Jeffri M. Yusup berkata, prosedur patuh syariah juga dapat membantu menghapuskan amalan tawar menawar yang tidak kompetitif dan setara.

“Penerapan prosedur syariah dalam perniagaan kami dapat bertindak sebagai mekanisme untuk menawarkan insentif yang menarik dan unik kepada pelanggan kami,” katanya.

Prosedur patuh syariah itu akan memendekkan tempoh kutipan bayaran dan mempertingkat bayaran awal sekali gus menjamin pengurusan aliran tunai syarikat, yang juga akan meningkatkan keyakinan dan kesetiaan pelanggan melalui perkhidmatan yang lebih baik dan mesra pelanggan.

Jeffri menjelaskan langkah itu melengkapi aspirasi IPMUDA untuk menjadi organisasi yang menitikberatkan tanggungjawab sosial pada masa kumpulan itu sedang mempersiapkan semua inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus merentasi semua segmen perniagaan.

“Segmen perniagaan tenaga boleh diperbaharui dan kesihatan, secara dasarnya, telah mampan, dan kini segmen bekalan bahan binaan akan menyertai perjalanan yang sama ke arah masa depan yang lebih mampan,” tambah Jeffri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

841
Kongsi :
Previous post JDT bakal rai kejuaraan Liga Super bersama penyokong
Next post Kebajikan warga Malaysia terkandas di Singapura jadi keutamaan
Ubah saiz-+=