Sorting by

×

IPD BERUSIA 100 TAHUN DICADANG JADI MUZIUM POLIS, NAFI DIJUAL

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

KESIDANG 4 September – Bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berusia 100 tahun yang terletak di Banda Hilir dicadang akan dijadikan Muzium Polis.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang mewakili Kerajaan Negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu telah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sejak sekian lama, sebelum isu perpindahan IPD berkenaan menjadi tular.

Beliau turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan liar mengatakan tapak tersebut dijual oleh Kerajaan Negeri kepada pihak luar, sedangkan tanah itu milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

“Jadi, tiada isu mengaitkan kita mahu menjual kepada mana-mana pihak kerana tuduhan ini sangat dangkal dan boleh mengelirukan orang ramai.

“Saya minta jangan jadikan isu ini sebagai polemik politik kerana niat asal Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh adalah untuk memberi keselesaan kepada anggota polis selepas mengadakan lawatan ke IPD Melaka Tengah dan mendengar keluhan anggota di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan lawatan ke bangunan sementara IPD Melaka Tengah di Wisma Amanah, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit dan lain-lain kenamaan.

Sebelum ini tular di platform media sosial mengaitkan warga IPD Melaka Tengah dihalau dan dipaksa pindah ke bangunan sementara yang didakwa tidak selamat untuk didiami.

Dakwaan itu bagaimanapun dijawab sendiri Ketua Polis Melaka Datuk Wira Zainol Samah yang menjelaskan pemindahan itu dilakukan memandangkan bangunan IPD Melaka Tengah di Banda Hilir berusia satu abad tidak lagi selamat digunakan serta memerlukan kos yang tinggi untuk proses pembaikan.

6251293610947493299
DATUK DR. MUHAMAD AKMAL

Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal, memaklumkan Kerajaan Negeri juga akan membuat laporan polis susulan fitnah yang ditimbulkan itu dan meminta orang ramai tidak terpedaya dengan penularan berita berkenaan.

“Saya minta hentikanlah tohmahan yang tidak betul seolah-olah kita mahu menzalimi anggota polis yang menjadi tonggak keselamatan negeri dan negara.

“Saya berharap sebelum menyebarkan sesuatu perkara, pastikan ia adalah benar dan jika tidak, bersiap sedialah untuk bertanggungjawab. Jangan terlalu teruja membuat kekacauan dan sengaja mengelirukan rakyat di luar sana,” tegasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

576
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI TINJAU BANGUNAN SEMENTARA IPD MELAKA TENGAH
Next post JUMLAH NAHAS KEMALANGAN JALAN RAYA BABIT PELAJAR SEKOLAH TINGGI DI ALOR GAJAH
Ubah saiz-+=