IPD Alor Gajah mahu capai sasaran perkhidmatan berintegriti
ALOR GAJAH 25 Mac – Menjadikan Alor Gajah sebagai destinasi pelancongan selamat dan bebas jenayah menjadi misi utama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superitendan Arshad Abu berkata, perkara itu menjadi aspirasi pentadbirannya selain menjalankan amanah dipikul dengan penuh integriti.
Katanya, hasrat itu seiring dengan tema sambutan Hari Peringatan Polis ke-215 tahun ini iaitu ‘Polis dan rakyat berpisah tiada’.
“Saya akan pastikan pegawai dan anggota saya sentiasa berintegriti dalam menguatkuasakan undang-undang.
“Misi saya adalah memastikan Alor Gajah sebuah kawasan yang selamat sekali gus membolehkan rakyat menjana ekonomi masing-masing tanpa gangguan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Peringatan Polis ke-215 di IPD Alor Gajah, di sini hari ini.
Menurutnya, bagi mencapai sasaran itu kerjasama turut dijalin dengan agensi lain seperti Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
Terdahulu, sambutan dimulakan dengan perbarisan tabik hormat dan kawalan keselamatan diikuti penyampaian sijil penghargaan kepada penerima berkenaan.
Pada majlis sama, Arshad turut menyempurnakan gimik penyerahan dua unit bot gentian kaca yang disumbangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Pihaknya akan terus komited dalam memikul amanah dan tanggungjawab bagi memastikan perkhidmatan polis benar-benar menyantuni rakyat Alor Gajah.
“Apabila kita menghayati perutusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ia jelas menitikberatkan peranan polis yang menguatkuasakan undang-undang perlu lebih berdedikasi dan berintegriti.
“Beberapa kali ungkapan itu diulang, jadi kita mesti berpegang amanah itu kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.