Sorting by

×

‘Insya-Allah poket kami tidak kempis’

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

TANJUNG BIDARA 2 Mei – Penutupan penuh atau ‘total lockdown’ yang bermula semalam hingga 14 Jun ini tidak menyebabkan nelayan terputus wang kerana sektor perikanan serta rantaiannya dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berbeza dengan jangkaan awal mereka tidak dibenarkan ke laut, hari ini mereka bebas mencari rezeki untuk menyara keluarga dan membuat sedikit tabungan.

Nelayan, Mohd Ali Abu Bakar, 53, berkata sebelum larangan pergerakan penuh diumumkan, dia bimbang nelayan tidak dibenarkan beroperasi dan bakal menjejaskan pendapatan hariannya.

MOHD ALI.

“Kami hidup dengan bergantung kepada hasil tangkapan dan ada kalanya ia menggembirakan dan ada ketikanya sekadar ‘lepas’ duit petrol atau lebih teruk lagi, hanya seekor atau dua ekor ikan yang kami dapat.

“Alhamdulillah, apabila kerajaan mengumumkan penutupan penuh mulai semalam hingga 14 Jun ini, kami tidak terlibat, sebaliknya perikanan dikategorikan sebagai sektor penting,” kataya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini hari ini.

Abdul Rahim menyusun jaring di dalam perahunya di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Abdul Rahim Azali, 34, berkata kebenaran untuk nelayan turun ke laut amat menggembirkannya kerana selama jaring tidak dilabuhkan di tengah laut, selagi itulah poket nelayan kering.

“Kami tidak ada gaji bulanan, sebaliknya rezeki kami bergantung kepada berapa banyak ikan yang berjaya kami daratkan dan jika tidak dibenarkan menangkap ikan, maka selama itulah kami tiada sumber pendapatan,” katanya.

Abu Noh Md Isa, 65, berkata saban hari beliau menghabiskan kebanyakan daripada waktunya dengan mencari rezeki di laut di perairan pinggir pantai Tanjung Bidara, di sini dan jika nelayan tidak dibenarkan beroperasi, dia sudah dapat menjangka poketnya akan kosong.

Selain itu, katanya, dia yakin terhindar daripada ancaman wabak COVID-19 berbanding mereka yang bekerja dalam ruang bertutup dalam bangunan.

“Alhamdulillah, sejak mencari rezeki di laut selepas tamat perkhidmatan tentera kira-kira 20 tahun lalu, saya jarang menghidap demam, batuk atau penyakit yang berkaitan dengan pernafasan.

“Saya yakin, udara segar di laut membuatkan saya sihat tetapi semuanya adalah anugerah Allah kerana ada juga nelayan yang setiap hari turun ke laut tetapi diserang batuk dan mengalami masalah pernafasan,” katanya di pangkalan nelayan Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

816
Kongsi :
Previous post COVID: 7,703 kes baharu dilaporkan hari ini- KP Kesihatan
Next post Padah sebar berita palsu COVID-19, suri rumah didenda RM5,000, guru tuisyen mohon dibicarakan
Ubah saiz-+=