Sorting by

×

INSWA promosi seni budaya Melaka di Jakarta

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 15 Ogos – Institut Warisan Melaka (INSWA) ‘berkampung’ selama enam hari di Jakarta, Indonesia dalam usaha memperkenalkan seni budaya negeri ini ke persada antarabangsa.

Pengurus Besar INSWA, Drs. Mohd Nasruddin Rahman berkata, pihak menerima jemputan daripada Jabatan Muzium Malaysia untuk mengambil bahagian pada Program Citra Nusa@Indonesia: ‘Kita Serumpun’ yang berlangsung di Muzium Kebangkitan Nasional, Jakarta.

Katanya, selain Melaka empat lagi negeri lain mewakili Malaysia ke program itu adalah Kedah, Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan.

“Bagi menjayakan program ini INSWA membawa rombongan seramai 23 orang yang terdiri daripada pempamer, artis budaya, pemuzik dan juga penyanyi lagu tema Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Antara persembahan kebudayaan seni budaya Melaka yang dipersembahkan adalah tarian etnik Peranakan dan Dondang Sayang. Selain itu kami turut memberikan penerangan secara terperinci mengenai sejarah seni tarian itu,” katanya.

Menurutnya, selama enam hari di Jakarta INSWA turut mengadakan demonstrasi masakan warisan Melaka seperti asam pedas, sago gula Melaka dan onde-onde.

“Program ini bermula dari 1 hingga 31 Ogos nanti, namun acara kemuncaknya bermula 10 hingga 15 Ogos. Selain mengadakan persembahan, pameran dan demonstrasi masakan kita turut mempromosikan TMM2024 dengan membantu membuat jualan kupon TMM2024 termasuk barangan cenderamata,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

123
Kongsi :
Previous post UNIMEL tambah Pusat Kecemerlangan Falak
Next post MPJ fokus siapkan baki kerja 2024
Ubah saiz-+=