Institusi TVET perlu ‘mesra masyarakat’

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER LIMAU 9 Jun – Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau perlu menerapkan elemen kemasyarakatan bersama penduduk di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, setakat terdapat empat institusi TVET yang terdapat di DUN berkenaan yang melahirkan ramai graduan dalam bidang teknikal.

Justeru, beliau yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, keempat-empat institusi yang ada di kawasan itu perlu ‘mesra masyarakat’ supaya penduduk dapat mengetahui peranan dan fungsi utama institusi itu sebagai gerbang pendidikan.

Menurutnya lagi, pelbagai pendekatan perlu dilaksanakan seperti penganjuran lebih banyak program pendedahan supaya anak muda dapat memenuhi permintaan bidang yang ditawarkan di institusi sedia ada di Ayer Limau

“Kita melihat bahawa semua institusi ini mempunyai peluang besar dalam TVET dan mereka perlu mesra masyarakat sebab ada juga masyarakat yang tidak tahu apa yang ada dan ditawarkan di dalamnya.

“Kesemua institusi ini membawa masa depan yang baik untuk anak-anak Ayer Limau malah kita sedia maklum industri sedia ada memerlukan kepakaran dalam bidang TVET, jadi diharap institusi ini dapat berkembang dan melahirkan graduan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Karnival Pendidikan dan Kerjaya TVET Peringkat DUN Ayer Limau di Dewan Tan Sri (Dr) Abu Seman, Paya Rumput, di sini, semalam.

Majlis perasmian penutup karnival berkenaan telah disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta tetamu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

73
Kongsi :
Previous post Mural Lorong Hang Jebat tanda kenangan
Next post Tiga maut, 36 cedera dalam nahas jalan raya bas, treler di Rompin
Ubah saiz-+=