Sorting by

×

Inspektor Sheila didakwa aib kehormatan lans koperal, pemuda dan ugut warga emas

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Seorang inspektor wanita yang tular di media sosial baru-baru ini dihadapkan di dua Mahkamah Majistret Selayang di sini atas dua pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal dan seorang pemuda serta satu tuduhan melakukan ugutan jenayah ke atas seorang wanita warga emas.

Sheila Sharon Steven Kumar, 35, membuat pengakuan tidak bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni dan Majistret Chai Guan Hock.

Di hadapan Majistret Nur Hafizah, wanita itu didakwa menyebut berkenaan pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud untuk mengaibkan kehormatannya di No 8, Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak di sini, pada 1.25 tengah hari, 15 Jun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun peguam M. Manoharan yang mewakili Sheila memohon anak guamnya dikenakan jaminan bon atau jaminan paling rendah dengan alasan dia berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tujuh tahun lepas dan tertuduh daripada keluarga yang baik.

“Ayah tertuduh hadir sebagai penjamin dan untuk makluman, ayahnya merupakan bekas pegawai polis yang telah berkhidmat di PDRM selama 39 tahun. Anak guam saya hanya mahu mendisiplinkan pengadu,” kata Manoharan.

Di hadapan Majistret Chai, wanita itu didakwa mengugut M. Silverkoomarie, 69, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada wanita warga emas itu pada 12 tengah hari di tempat dan tarikh sama, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai polis wanita itu juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki, P. Taneswaran, 31, dengan berkata “you tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu” di lokasi dan tarikh sama, pada 1 tengah hari.

Dia dakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1439
Kongsi :
Previous post Satu kampung, satu penyembelih haiwan bertauliah – Exco
Next post Parol dan PBSL atasi kesesakan banduan
Ubah saiz-+=