Insiden Balai Polis Ulu Tiram: Dua pelajar dibebaskan, lima sekeluarga masih disiasat
JOHOR BAHRU, 22 Mei – Polis telah membebaskan tanpa syarat dua pelajar yang ditahan susulan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram Jumaat lepas sehingga mengakibatkan dua anggota polis dan seorang suspek maut.
Ketua Polis Johor Komisioner M.Kumar berkata pelajar lelaki sebuah kolej swasta berusia 22 tahun dan pelajar wanita sebuah institusi latihan berusia 21 tahun itu dibebaskan setelah pihaknya mendapat arahan dari pejabat Peguam Negara.
“Kedua-dua pelajar yang ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibebaskan tanpa syarat setelah mendapat arahan dari pejabat Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata siasatan terhadap lima anggota keluarga suspek yang direman sehingga 24 Mei ini masih diteruskan.
Kumar turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau memanipulasi fakta menerusi komen di media sosial berkaitan insiden itu sehingga boleh menggugat ketenteraman awam dan mengganggu siasatan polis.
Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi Jumaat, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang oleh seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang manakala Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Susulan itu, tujuh individu ditahan reman termasuk lima anggota keluarga suspek bagi membantu siasatan.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.