Sorting by

×

Insentif tambahan ‘suntik’ semangat atlet Sukma

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

JASIN 25 Julai – Bapa dan agensi angkat digalak untuk memberikan insentif tambahan selain ganjaran disediakan Kerajaan Negeri sebagai menghargai pencapaian atlet yang mengharumkan nama Melaka dengan merangkul emas pada gelanggang Sukan Malaysia (Sukma) XXI Sarawak 2024.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, setakat ini Kerajaan Negeri menyediakan ganjaran RM5,000 buat mana-mana wakil Melaka yang berjaya merangkul emas.

“Namun begitu nilai insentif itu akan ditentukan oleh mereka (bapa dan agensi angkat, contoh bagi atlet muay thai bakal mendapat tambahan RM5,000 lagi jika berjaya membawa pulang emas daripada. Perkara itu sudah diputuskan oleh bapa dan agensi angkat sukan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bendera Negeri Melaka Kepada Ketua Kontinjen SUKMA XXI Sarawak 2024, di Dewan Alamanda Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), hari ini.

Pada majlis itu, beliau menerima bendera Melaka yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Sementara itu, Shanmugam berkata, pihaknya bukan ingin ‘mencari nama’ apabila menghantar atlet yang ramai ke Sukma XXI, sebaliknya memberikan persembahan yang terbaik dalam misi memburu 20 pingat emas.

“Menghantar kontinjen besar bukan untuk mendapat nama tetapi ingin memberikan yang terbaik kerana sesiapa sahaja boleh menyumbang pingat.

“Malah sasaran kita menghantar mereka juga bukan hanya untuk beraksi di kejohanan ini tetapi juga sebagai persediaan untuk menghadapi SUKMA di Selangor pada 2026,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

176
Kongsi :
Previous post Koridor Ekonomi Anjung Selatan beri manfaat tiga negeri
Next post Atlet Melaka sedia melangkah ke gelanggang Sukma
Ubah saiz-+=