Insentif sektor pertanian tingkat pengeluaran makanan
SERKAM 28 Nov. – Bantuan insentif bersasar dalam sektor pertanian dan asas makanan seiring dengan hasrat kerajaan bagi memperluas fasa peningkatan pengeluaran makanan di negara ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, hasrat yang ditekankan menerusi matlamat tahun 2021 itu, sekali gus memastikan negara mampu menghasilkan produk-produk sendiri termasuk keselamatan makanan yang dihasilkan terjamin agar negara tidak terus bergantung kepada import makanan dari luar.
Ujarnya, pihaknya memandang serius dalam pembangunan industri tersebut dan berharap ia mampu dikembangkan menerusi Belanjawan 2021 dengan pelbagai inisiatif ditawarkan membabitkan pelbagai industri pertanian termasuk sektor komoditi tanaman padi.
“Skim Harga Padi sebanyak RM570 juta, Skim Subsidi Baja dan Insentif Pengeluaran Padi sebanyak RM960 juta dan Subsidi Baja Padi Bukit sebanyak RM40 juta telah disalurkan kerajaan bagi mencapai hasrat ini.
“Kita turut menumpukan kepada pengeluaran hasil pertanian menerusi pelbagai agensi dengan perlaksanaan program bermanfaat menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Pertanian, Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan sebagainya,” katanya ketika berucap selepas merasmikan program Menuai Padi Varieti MR303 di Kampung Tedong, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, inisiatif lain termasuk menyediakan Tabung Bencana Pertanian Agro Makanan dengan peruntukan RM80 juta mampu memberi manfaat besar kepada golongan petani, pesawah, penternak dan nelayan yang terjejas di negara ini.
“Pengagihan ini akan dilaksanakan setelah kementerian membuat penilaian dengan memfokuskan buat golongan yang terjejas teruk dengan kerugian akibat daripada musim tengkujuh dan banjir yang melanda,”katanya.