INISIATIF SATU PBT SATU AMBULANS
SERI NEGERI 27 Disember – Perkhidmatan satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), satu ambulans akan dilaksanakan di negeri ini bagi menyokong pelaksanaan program Paramedik Komuniti (PARAKOM).
Inisiatif itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika ucapan Bajet 2025 Negeri Melaka bertemakan Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang.
Beliau berkata inisiatif antara lain bagi menambah baik PARAKOM yang kini mempunyai seramai 470 ahli yang berkhidmat di bawah program itu.
“Kerajaan Negeri akan menambah baik program PARAKOM dengan penglibatan anggota kesihatan di bawah Program Care Close To You (CC2U).
“Sehingga November 2024, seramai 470 ahli PARAKOM telah menghadiri kursus bersama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Persatuan St. John Ambulance bagi melengkapkan ahli PARAKOM dengan kemahiran rawatan asas.
“Justeru, menerusi program ini Kerajaan Negeri melalui PBT akan menyediakan perkhidmatan 1 PBT 1 Ambulans bagi memperkasa perkhidmatan PARAKOM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan berkenaan sempena Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata sejumlah RM100,000 diperuntukkan di bawah pembiayaan Skim Perlindungan Insurans Kesihatan kepada kakitangan Japerun.
“Ia sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dalam memastikan pembangunan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.