Inisiatif ringankan beban harga tiket penerbangan mahasiswa IPTA diperkenal Ogos
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) — Kementerian Pengangkutan (MoT) akan memperkenalkan satu inisiatif pada Ogos ini bagi meringankan beban kewangan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk membeli tiket penerbangan pulang.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif dalam bentuk pemberian kredit itu, kini masih dalam proses integrasi dengan syarikat-syarikat penerbangan.
“Kita jangka ia dapat dilancarkan pada Ogos, sebelum sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya kepada media selepas melancarkan ‘perlepasan berganda’ MYAirline (Syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu Malaysia), bagi Program Pelajar dan Penerbangan Sulung ke Bangkok, di sini hari ini.
Menurut beliau, apabila dilaksanakan kelak, inisiatif berkenaan dijangka mampu memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 pelajar IPTA.
Loke berkata industri penerbangan tempatan termasuk MYAirlines mempunyai peranan penting, khususnya dalam membantu meringankan pelajar yang perlu melakukan perjalanan merentasi Laut China Selatan kerana penerbangan merupakan satu-satunya mod pengangkutan awam pilihan mereka.
“Khidmat penerbangan yang boleh dipercayai dan mampu milik adalah kunci untuk membolehkan pelajar-pelajar kita mengejar peluang pendidikan terbaik dan mengukuhkan perpaduan wilayah kami.
“Dengan sukacitanya saya mengumumkan MYAirlines akan menawarkan diskaun tambang sebanyak 20 peratus dan bagasi 15kg percuma kepada pelajar (berumur 16-26) yang menaiki penerbangan domestik di bawah program ini.
“Melalui inisiatif MoT yang akan diperkenalkan itu, dan Program Pelajar MYAirline, pelajar kini boleh mengharapkan lebih banyak pilihan apabila melancong di dalam negara.
“Saya berharap usaha ini juga akan menjadi pemangkin kepada syarikat penerbangan lain untuk mengadakan program serupa bagi membantu rakyat,” katanya.
Mengenai penerbangan sulung MYAirline ke Thailand, Loke berkata ini akan membantu mengembangkan lagi peluang perdagangan dan pelancongan serta memperdalam pertukaran seni budaya antara Malaysia dan Thailand.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo berkata syarikat penerbangan itu akan beroperasi di dua lapangan terbang di Bangkok, dengan operasi di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 28 Jun dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang menjelang 1 Julai.
“Mulai esok, MYAirline akan melebarkan sayapnya ke Bangkok melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, sekali gus dapat memberi pilihan kepada penumpang untuk memilih antara Lapangan Terbang Don Mueang atau Suvarnabhumi.
“Buat kali pertamanya syarikat penerbangan tempatan berupaya menawarkan fleksibiliti sedemikian,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.