Sorting by

×

INISIATIF PARAKOM TARIK MINAT SYARIKAT SINGAPURA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SERI NEGERI 25 Mac – Inisiatif Paramedik Komuniti (PARAKOM) diperkenalkan Kerajaan Negeri telah menarik minat syarikat swasta dari Singapura untuk turut serta dalam usaha memperkukuh bantuan kecemasan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu bagi menyediakan bantuan awal kepada penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan perubatan rasmi, sekali gus meningkatkan kadar respon dalam situasi kecemasan.

“Difahamkan sebuah syarikat swasta dari Singapura akan menubuhkan PARAKOM bagi membantu masyarakat Melaka memandangkan sumbangan daripada pekerja mereka di Melaka ini telah memberikan pulangan yang baik kepada syarikat tersebut.

“Jadi saya mengalu-alukan penyertaan syarikat swasta dari Singapura yang melihat potensi program ini dan mahu menyumbang kepada masyarakat Melaka.

“Ini juga membuktikan bahawa sumbangan tenaga kerja mereka di negeri ini memberikan pulangan yang baik kepada syarikat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Warga Jabatan Ketua Menteri Melaka di Dataran Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam dan lain-lain barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Menurut Ketua Menteri, pelaksanaan PARAKOM itu akan melalui proses penstrukturan yang ketat, termasuk penyediaan latihan komprehensif dan pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka yang mahu menjadi Paramedik Komuniti ini mesti menjalani latihan sepenuhnya dan mendapat pengiktirafan KKM sebelum berkhidmat, ia akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Tarikh rasmi pelaksanaan oleh syarikat swasta Singapura ini saya masih belum dapat maklumat lagi, namun Kerajaan Negeri komited untuk memastikan program ini berjalan lancar demi manfaat rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

378
Kongsi :
Previous post SUMBANGAN RAYA UNTUK WARGA JABATAN KETUA MENTERI MELAKA
Next post MELAKA TAWAR DIRI JADI TUAN RUMAH MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA