Ingkar SOP, sanggup bersesak beli juadah berbuka
PAYA RUMPUT 13 April – Mungkin terlalu teruja dapat membeli juadah berbuka di pasar Ramadan membuatkan segelintir orang ramai terlupa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah pandemik COVID-19 terutamanya aspek penjarakan fizikal.
Itu situasi dilihat ketika tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) ke beberapa pasar Ramadan di Melaka Tengah.
Tinjauan pertama sekitar jam 4 petang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang mendapati keadaan masih terkawal dengan jumlah pengunjung masih berkurangan dan situasi juga dapat dikawal dengan baik.
Namun keadaan pasar Ramadan di kawasan DUN Klebang sekitar jam 5 petang berbeza apabila orang ramai berpusu-pusu membeli juadah hingga menyebabkan beberapa kawasan sesak teruk dengan kenderaan.
Suasana lebih buruk pada sekitar jam 6 petang apabila keadaan pasar Ramadan dilihat semakin kritikal sehingga ada yang sanggup bersesak-sesak termasuk ada yang membawa anak-anak kecil.
Paling membimbangkan suasana di satu pasar Ramadan di DUN Paya Rumput yang memperlihatkan langsung tiada penjarakan fizikal antara pengunjung seolah-olah negara sudah bebas daripada pandemik COVID-19.
Walaupun laluan masuk dikawal petugas dengan mewajibkan setiap pengunjung mengambil suhu dan mengimbas MySejahtera, namun situasi di dalamnya tidak ubah seperti ikan dalam belat.
Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Ain, 35 berkata, sejurus masuk sahaja ke kawasan pasar Ramadan itu, dia terpaksa berpatah balik dan melupakan hasrat juadah berbuka kerana tidak sanggup menanggung risiko bersesak-sesak dengan orang ramai.
“Keadaan terlalu sesak hingga setiap orang boleh berlaga bahu antara satu sama lain. Jadi, saya terpaksa lupakan dahulu niat membeli kuih-muih bagi berbuka puasa.
“Saya berharap pihak penganjur dapat melakukan sesuatu untuk mengurangkan kesesakan di kawasan pasar Ramadan ini dalam usaha kita membendung penularan pandemik COVID-19,” katanya.
Hasil pemerhatian MHI, keadaan sesak itu mula beransur-ansur pulih apabila hampir memasuki jam 7 petang memandangkan waktu berbuka puasa sudah hampir tiba iaitu pada jam 7.18 petang (waktu Melaka).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.