Sorting by

×

‘Ingatkan gurauan rakan mati tergantung’ – Saksi

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

SEMABOK 5 Mac – “Mulanya saya ingat rakan bergurau mengatakan penyelia kami yang juga rakan sekerja tergantung di dalam bilik, tetapi saya terkejut apabila melihat dia sudah tidak bergerak.

“Waktu itu pula, pelanggan sedang ramai menjamu selera di dalam kedai dan saya segera meminta rakan menghubungi polis sebelum disedari pelanggan yang mula beredar,”.

Demikian diceritakan saksi seorang penyelia lelaki warga India di sebuah restoran di Taman Semabok Perdana, di sini yang ditemukan mati tergantung dengan keadaan lehernya diikat dengan kain yang digantung pada kipas siling dalam sebuah bilik di atas restoran berkenaan kira-kira jam 9 malam tadi.

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad

Menurut pekerja lelaki berkenaan ketika kejadian, dia sedang bertugas bersama dua lagi rakannya sebelum memanggil rakannya berusia 29 tahun itu yang juga penyelia restoran berkenaan untuk menggantikan giliran tugasnya.

“Sepatutnya, dia menggantikan shif tugas saya pada jam 8 malam namun selepas mendapati dia tidak turun saya meminta rakan lain memanggilnya di bilik.

“Tidak lama selepas itu, rakan memaklumkan penyelia itu sudah mati dan saya yang pada mulanya menyangka ia satu gurauan terus bergegas ke tingkat atas untuk melihat keadaannya.

“Saya terkejut apabila melihat kelibat rakan dalam keadaan tergantung dan terus berlari meminta rakan di bawah menghubungi polis,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

LOKASI mayat lelaki warga India yang ditemukan dalam keadaan tergantung di atas sebuah restoran di Taman Semabok Perdana malam tadi. Foto: MR. Azli

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihak polis menerima panggilan awam mengenai kejadian jam 9.10 malam membabitkan seorang lelaki warga India ditemukan mati tergantung di tingkat atas bangunan restoran berkenaan.

“Siasatan awal Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ditempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah dikesan dan dia turut dikatakan tidak mempunyai sebarang masalah kewangan atau berselisih faham dengan mana-mana rakan sekerja.

“Kali terakhir saksi berjumpa dengan si mati adalah pada jam 3 petang semalam ketika dia berhenti berehat selepas bekerja dari jam 8 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Afzanizar berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

682
Kongsi :
Previous post Mufti selamat terima suntikan vaksin COVID-19
Next post Hidangan ‘rare’ penyeri buffet Ramadan Hotel LaCrista Melaka
Ubah saiz-+=