Infrastruktur, prasarana kawasan pelancongan perlu lengkap

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SERI NEGERI 25 Ogos – Semua kemudahan infrastruktur dan prasarana di kawasan daya tarikan pelancong di negeri ini perlu berada dalam keadaan lengkap dan baik.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata ia meliputi aspek kebersihan, keindahan dan keceriaan yang perlu diurus dengan baik bagi menjaga imej Negeri Melaka.

“Saya berbesar hati atas penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), saya lihat banyak program dan aktiviti dilaksanakan sepanjang setengah tahun pertama 2024 dan sambutan diterima amat menggalakkan.

“Tahniah dah syabas diucapkan kepada Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana negeri ini telah menerima seramai 8.7 juta pelancong dan pengunjung dari bulan Januari hingga Julai 2024.

“Tahniah kepada Kerajaan Negeri berjaya menerima pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik sebanyak RM6 bilion pada tahun lalu dan RM2.38 bilion sehingga Mac 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pembukaan Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang di- Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Istiadat di Seri Negeri, hari ini.

Tun Dr. Mohd Ali juga berharap kawasan-kawasan perindustrian baharu yang akan dibangunkan kelak dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur yang komprehensif

“Ini bagi menarik lebih banyak pelabur memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka.

“Saya difahamkan menerusi lawatan kerja rasmi Ketua Menteri Melaka ke China baru-baru ini, sebuah syarikat semikonduktor ke-7 terbesar di dunia bakal meluaskan operasinya ke Melaka pada tahun ini dengan nilai pelaburan sejumlah RM2.4 bilion,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

250
Kongsi :
Previous post ‘Penternak kupang terjejas akan dibantu’
Next post Melaka International Swim, Bike & Run 2024 makin meriah
Ubah saiz-+=