Infak 400 kg ikan dan sayur
TANJUNG BIDARA 10 Julai – Sebuah syarikat guaman bermurah hati menginfak 400 kilogram (kg) ikan kembung dan sayur segar kepada masyarakat B40 di sini hari ini.
Syarikat yang beribu pejabat di Bandar Melaka itu mengagihkan bahan makanan segar khusus untuk mereka yang hilang dan terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pengurus syarikat itu, Mohd Afendi Hassan, 31, berkata majikannya menyediakan masing-masing 200 kg ikan dan sayur bagi tujuan itu.
“Kami bersyukur dapat memberikan sedikit sumbangan kepada anggota komuniti B40 yang terjejas akibat COVID-19.
“Kami berharap sedikit sebanyak ia mampu meringankan beban perbelanjaan harian orang ramai yang terkesan,” katanya ketika ditemui di lokasi pengagihan bahan makanan itu di Kilometer 23, Jalan Masjid Tanah-Pengkalan Balak, di sini.
Anggota komuniti, Rahimah Zahidin, 33, berkata banyak pihak terkesan dengan PKP 3.0 dan ada sesetengahnya kehilangan pekerjaan kerana kilang ditutup dan seumpamanya.
“Saya sendiri yang berniaga makanan turut menerima kesan PKP 3.0 kerana pelanggan menurun dengan amat ketara,” katanya.
Azahari Abdullah, 42, berkata sumbangan ikan dan sayur itu diambil sekadar untuk keperluan dia, isteri dan dua anak.
“Bila ada peluang begini, janganlah kita jadi tamak dan fikirkan orang lain yang juga memerlukan,” katanya.
Shamsul Mohd Yusof, 49, pula akan menggunakan sumbangan itu untuk makan tengah hari hari ini dan esok.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak yang menyedekahkan ikan dan sayur kerana ia mengurangkan beban perbelanjaan harian kami sekeluarga,” katanya.
Siti Aisyah Samsuri, 12, dan adiknya Syamsul Rizal, 10, juga tidak mahu ketinggalan mendapatkan ikan dan sayur walaupun terpaksa berjalan satu kilometer dari kediaman di Kampung Londang untuk ke lokasi pengagihan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.