Industri perfileman negara berpotensi besar, harus disemarakkan – Annuar
Katanya, langkah itu akan mampu mempercepatkan nama industri perfileman negara diangkat ke pentas global.
“Kita tidak boleh berasa cukup dengan keadaan seperti biasa. Kita perlu terima hakikat dan realiti yang industri kreatif terutamanya perfileman mempunyai potensi yang sangat besar” katanya pada tayangan khas filem “Air Force The Movie: Selagi Bernyawa” di sini, malam tadi.
Menurut Annuar jalan cerita sesebuah filem juga harus memastikan ianya dapat dihayati oleh semua golongan masyarakat dalam memperluaskan pasaran filem itu.
“Kita satu Keluarga Malaysia. Besarkanlah pasaran bukan sahaja mengikut segmen kaum supaya kita dapat pasaran yang lebih besar,” katanya.
Menurut Annuar , K-KOMM akan mengusahakan apa sahaja untuk memajukan industri perfileman negara termasuk melakukan beberapa perubahan dasar sekiranya diperlukan.
“Saya berharap Menteri Kewangan dalam belanjawan akan datang ada beberapa pengumuman tertentu untuk dijadikan pemangkin atau ‘catalyst’ kepada industri perfileman dan industri kreatif,” katanya.
Mengenai tayangan hari ini, Annuar berkata filem berkenaan adalah unik kerana penonton berpeluang menyaksikan aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia dan berjaya melahirkan semangat patriotisme secara kreatif.
“Dalam filem, selain daripada hiburan, yang penting adalah mesej yang hendak disampaikan,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.