
INDUSTRI HALAL, MAKANAN ANTARA POTENSI DI HAB GOLDEN VALLEY MELAKA
KOTA LAKSAMANA 23 Mac – Empat industri berpotensi untuk dikembangkan di Hab Perindustrian Golden Valley Melaka, Jasin.
Pengerusi Hab Perindustrian Golden Valley Melaka, Datuk Wira Gan Tian Loo berkata empat industri terbabit merangkumi industri pemprosesan makanan dan industri halal.
Tambahnya, antara industri berpotensi lain yang dicadang adalah pembuatan elektronik; pembuatan komponen automotif dan pemasangan elektronik.
“Hab perindustrian ini merupakan model baharu kerjasama dua negara antara Malaysia khususnya Melaka dan China. Hal ini kerana Melaka merupakan negeri yang strategik di titik pusat Asia Tenggara dan laluan perdagangan maritim tersibuk di dunia.
“Kerjasama erat antara Perbadanan Melaka (MCORP); Teladan Group Sdn Bhd; Gezhouba Engineering (Malaysia) Sdn Bhd dan Nanyang Sea Silk Road Sdn Bhd menandakan komitmen kukuh dalam membangunkan hab perindustrian ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Golden Valley Industrial Hub antara Teladan Group Berhad; Gezhouba Engineering (Malaysia) Sdn Bhd dan Nanyang Sea Sik yang disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP),Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Tian Loo memaklumkan pelbagai kemudahan bakal disediakan buat pelabur yang berpotensi memulakan perniagaan di kawasan perindustrian itu.
“Antara kemudahan disediakan di kawasan perindustrian ini termasuk jalur lebar; persekitaran yang stabil, selamat dan selesa; pelbagai peluang pelaburan; rangkaian pengangkutan; rawatan kumbahan; sistem bekalan air dan elektrik serta pelbagai lagi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.