Industri gaharu bakal diperkasa dalam RMKe-12

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

ASAHAN 15 Julai – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bakal memperkasa industri gaharu dengan meletakkannya sebagai antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Menterinya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, satu projek yang diberi nama Projek Bantuan Inokulasi sudah dirangka pihak kementerian dalam perancangan tersebut yang mana ia dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 500 pengusaha produk gaharu di negara ini.

“Buat masa ini kita belum ada sebarang peruntukan tertentu untuk projek tersebut. Tetapi perkara ini akan kita bahaskan di peringkat RMKe-12.

“Dari situ kita akan tengak banyak mana yang akan diperuntukkan untuk setiap pengusaha. Apa pun, kita berharap peruntukan untuk projek inokulasi itu akan diluluskan,” katanya ketika melakukan lawatan ke Ladang Karas di Empangan Jus, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun 2018-2019, nilai eksport gaharu yang diterima negara adalah sekitar lebih RM9 juta yang mana berlaku penurunan berbanding unjuran 2015-2016 iaitu sekitar RM20 juta.

Jelasnya, penurunan nilai eksport tersebut adalah disebabkan pokok karas (yang menghasilkan gaharu) diletakkan sebagai antara tumbuhan terancam yang mana kuota pengeluaran untuk tujuan eksport yang dibenarkan adalah sekitar 150,000 kilogram (kg) sahaja.

Bagaimanapun katanya, disebabkan industri gaharu sudah berevolusi ke arah perladangan, perkara itu bukan lagi menjadi isu yang besar kepada negara.

“Had kuota itu adalah untuk gaharu yang diambil dari hutan. Tetapi sekarang, kita sudah bergerak ke arah perladangan pokok karas, yang mana kita percaya sudah tidak timbul isu lagi (berkaitan had kuota pengeluaran).

“Justeru, kita percaya pengeluaran gaharu yang akan dieksport ke luar negara akan bertambah dalam beberapa tahun mendatang yang mana ia akan menyemarakkan lagi industri ini dalam menambah pendapatan buat negara dan rakyat,” katanya lagi.

Views:

620
Kongsi :
Previous post Pengusaha pokok karas perlu berdaftar dengan MTIB
Next post Didenda RM25,000 miliki ‘Adidas’ tiruan
Ubah saiz-+=