Indonesia-Melaka sepakat jalin kerjasama martabat seni, budaya

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 Julai – Indonesia berhasrat untuk memperluas kerjasama bersama Negeri Melaka dalam memartabat seni dan budaya di antara kedua-dua negara.

Direktur Pengembangan dan Pemanfaatan Kebudayaan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset, dan Teknologi Republik Indonesia (Kemendikbud Ristek), Irini Dewi Wanti berkata, pihaknya sedia mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Negeri Melaka bagi mengatur langkah dalam memperkasa industri pelancongan secara bersama.

“Langkah awal yang harus dilaksanakan adalah perbincangan bilateral di antara Malaysia, khususnya Negeri Melaka bersama Indonesia untuk merealisasikan hasrat ini.

“Contohnya, perbincangan ini akan mengusulkan langkah bagi memperkasa pelancongan bersama dan meneliti pelbagai tradisi dan budaya di antara Melaka dan Indonesia yang boleh diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Program Muhibah Budaya Jalur Rempah di Negeri Melaka diadakan di sebuah hotel di Jalan Laksamana, di sini, baru-baru ini.

Majlis itu telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Yang turut hadir, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono; Staf Ahli Menteri Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi (Kemendikbud Ristek); Prof. Dr. Muhammad Adlin Sila serta lain-lain kenamaan.

Irini Dewi berkata, pelbagai bentuk jalinan usahasama lain turut dicadangkan bagi memperkasa jalinan kerjasama memartabatkan seni dan budaya di antara dua buah negara.

“Antaranya, kita juga mencadangkan untuk melaksanakan program pertukaran pelajar, pemuda (belia) dan pendidikan di antara dua negara.

“Selain itu, kita akan berusaha bersama-sama Kerajaan Negeri untuk mengusulkan cadangan agar sejarah laluan jalur rempah ini diangkat dan diwartakan ke peringkat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

61
Kongsi :
Previous post Penceritaan kisah ketokohan Dol Said, Othman Shawal bawa tuah
Next post Melaka Bila Larut Malam beri laluan kepada program keagamaan Maal Hijrah
Ubah saiz-+=