Indonesia henti Op Carilamat penyelam remaja warga Belanda
MERSING, 18 April – Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia menghentikan Op Carilamat mengesan penyelam warga Belanda Nathen Renze Chesters pada 7 malam tadi.
Remaja berusia 14 tahun itu dilaporkan meninggal dunia selepas empat hari hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol di sini dan disyaki hanyut ke perairan Indonesia.
Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata Pusat Operasi BASARNAS Tanjung Pinang mengumumkan operasi ditamatkan secara rasmi kira-kira pukul 7 malam tadi, berikutan tiada sebarang petunjuk dan penemuan mangsa di perairan Pulau Bintan, Indonesia.
Katanya, operasi pencarian di sektor perairan Indonesia telah dijalankan selama tujuh hari bermula 10 April lepas.
“Maritim Malaysia juga memaklumkan kepada pihak kedutaan Britain dan Belanda mengenai laporan tamat Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Indonesia itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya operasi oleh pihak berkuasa Indonesia itu melibatkan kapal dari Tentera Nasional Indonesia (TNI), Badan Keamanan Laut Indonesia (BAKAMLA), Polis Perairan Indonesia (POLAIR) dan BASARNAS.
Khairul Nizam berkata Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam operasi berkenaan.
Pada 6 April lepas empat penyelam warga asing dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman di sini.
Jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat dalam keadaan terapung, lengkap dengan pakaian dan peralatan menyelam, oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi, 7 April.
Warga Britain, Adrian Peter Chesters, 46, dan warga Perancis Alexia Alexandra Molina, 18, pula ditemukan selamat oleh nelayan tempatan pada kira-kira 1 pagi, 9 April.
Bagaimanapun, Nathen Renze disahkan telah meninggal dunia berdasarkan kenyataan Adrian Peter mengenai status anak lelakinya itu akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan.
Susulan itu, MRSC Johor Bahru telah meminta bantuan pihak berkuasa Indonesia bagi mencari mayat remaja itu yang dipercayai hanyut ke perairan negara berkenaan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.