Indonesia berminat sertai TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 22 Disember – Keterujaan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bukan sahaja dinantikan oleh rakyat Melaka tetapi penduduk luar termasuk dari negara jiran, Indonesia.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, sokongan dan semangat itu jelas dilihat menerusi kunjungan dan lawatan pihaknya ke negara serumpun itu selama seminggu bagi mempromosikan sambutan TMM2024.

Jelasnya, ketika lawatan itu juga pihaknya turut dijemput mengunjungi beberapa muzium negeri yang secara tidak langsung dapat bertukar idea serta pendapat.

“Menerusi siri kunjungan ke Indonesia, kita menerima reaksi positif apabila mereka bukan sahaja menunjuk minat serta keterujaan sambutan TMM2024 tetapi ingin turut serta dalam penganjuran aktiviti.

“Mereka menyatakan hasrat untuk menyertai pameran dan persembahan bertemakan ‘Back To History’ yang dihoskan oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) pada Februari depan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam berkata, sepanjang kunjungan itu pihaknya berpeluang mengunjungi muzium antaranya di Lampung, Palembang, Jambi termasuk muzium negeri di Pariaman.

“Diharap dengan kunjungan dan lawatan ini ia akan menyebar luaskan lagi sambutan TMM2024 yang akan disambut oleh Negeri Melaka.

“Selain itu, pengumuman hadiah cabutan bertuah yang dibuat oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga akan menjadi tarikan buat pengunjung untuk memilih Melaka sebagai destinasi pelancongan mereka.

“Justeru itu, untuk merealisasikan jumlah kedatangan pelancong yang disasarkan, kita akan pergiatkan lagi usaha termasuk bersedia menyambut kedatangan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1010
Kongsi :
Previous post MPJ naik taraf tujuh lokasi sempena TMM2024
Next post Melaka wakil Malaysia ke Asian Clean Tourist City Standard
Ubah saiz-+=