Sorting by

×

Individu positif COVID-19, kontak rapat perlu lapor KKM jika majikan paksa bekerja

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MERLIMAU 14 Feb – Tindakan tegas akan diambil ke atas majikan yang sengaja mengarahkan pekerja positif COVID-19 mahupun kontak rapat untuk terus bekerja, kata EXCO Kesihatan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata, pekerja yang melalui situasi itu perlu segera melaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tindakan segera dapat diambil.

Jelasnya, ia berikutan beberapa laporan diterima pihaknya membabitkan beberapa premis termasuk kedai makan, pasar raya dan pihak industri yang meminta pekerja untuk hadir meskipun dikelaskan sebagai kontak rapat.

“Kita menerima beberapa aduan dan minta pekerja untuk melaporkannya bagi mengekang kluster di tempat kerja yang semakin meningkat di negeri ini.

“Mereka kena tahu apa itu definisi kontak rapat dan jika didapati mereka benar-benar kontak rapat serta menepati beberapa kriteria itu tetapi masih diminta untuk datang kerja, mereka boleh maklumkan pada kita.

“Pada tempoh ini juga kontak rapat sudah boleh mendaftar dalam MySejahtera, jadi jika ada majikan yang berdegil kita akan ambil tindakan tegas dan buat penilaian buat majikan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan operasi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah kilang pembuatan optik di Merlimau, di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, kluster penularan di tempat kerja yang berlaku perlu dikawal sepenuhnya dan mana-mana majikan atau pekerja yang disahkan positif mahupun kontak rapat perlu dikuarantin sepenuhnya.

Katanya, ia bagi memastikan jangkitan itu tidak menular dari satu jabatan ke jabatan yang lain.

“Kita bukannya nak menutup kilang, tapi usaha mengekang wabak itu perlu diteruskan dari jabatan ke jabatan yang terlibat dan jika ia tidak mampu dikekang arahan menutup kilang terpaksa dikeluarkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1583
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kluster tempat kerja di Melaka meningkat
Next post EXCO tegur pekerja merokok di kilang
Ubah saiz-+=