Individu kena kompaun RM10,000 belum kemuka rayuan
PUTRAJAYA 31 Mac – Lebih 1,000 individu dikenakan kompaun RM10,000 sejak Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) (Pindaan) 2021 dikuatkuasakan pada 11 Mac, dengan kesemuanya masih belum mengemukakan rayuan pengurangan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Dr Adham berkata individu yang dikenakan kompaun boleh membuat rayuan kepada pengarah dan timbalan pengarah kesihatan negeri, untuk mendapatkan pengurangan berdasarkan jenis kesalahan dilakukan.
“Setakat ini tiada individu yang dikenakan kompaun RM10,000 membuat rayuan. Apabila rayuan dibuat, kompaun (baharu) akan dikeluarkan berdasarkan jenis serta tarikh bila kesalahan itu dilakukan,” katanya selepas majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique. Nota Kerjasama itu ditandatangani Ketua Setiausaha KPN Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi manakala KKM oleh Ketua Setiausahanya Datuk Mohd Shafiq Abdullah.
Mengulas proses rayuan kompaun itu, Dr Adham berkata kertas siasatan akan dibuka oleh Inspektor Kesihatan, bagi menilai apakah jenis kesalahan yang dilakukan dan jumlah kompauan yang akan dikenakan semula.
Menurutnya, kertas siasatan akan dibuka kepada empat kategori iaitu Orang Kurang Upaya, kumpulan B40, pelajar serta mereka yang merasakan tidak mampu untuk membayar kompaun.
“Orang yang dari kumpulan B40 perlu kemukakan bukti-bukti bagi membolehkan mereka membuat rayuan terhadap kompaun yang dikeluarkan,” katanya.
Dr Adham berkata penguatkuasaan undang-undang dan kenaikan kadar kompaun sejak 11 Mac, bukan bertujuan untuk menghukum, sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.
“Ini adalah untuk menggalakkan masyarakat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“KKM juga ingin menegaskan bahawa individu yang ditawarkan kompaun oleh pegawai diberi kuasa, untuk segera membayar kompaun tersebut bagi mendapatkan pengurangan,” katanya.
Mengulas mengenai Nota Kerjasama antara KPN dan KKM itu Dr Adham berkata, ia membolehkan kedua-dua kementerian bekerjasama bagi melaksanakan program dan aktiviti di bawah inisiatif Gaya Hidup Sihat Komuniti Perpaduan- Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi tempoh 2021-2025.
Lapan program dirangka dalam kolaborasi strategik itu, antaranya program Advokasi Cegah COVID-19, ‘PPE for Frontliners’, Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN), ‘Communication For Behavioural Impact (COMBI)’, Kenali Ubat Anda dan Penjagaan Kesihatan Pergigian (Ikon Gigi).
Menurutnya, seramai 42,812 ejen dan sukarelawan KKM akan menyertai program-program yang dirangka oleh kedua-dua kementerian ini.
“KKM dan KPN akan memperkasa agen, sukarelawan, komuniti perpaduan antara kedua kementerian, agar komuniti berupaya memainkan peranan dalam membudayakan amalan cara hidup sihat dan penjagaan kesihatan kendiri,” kata Dr Adham.
Sementara itu, Halimah berkata pihaknya mempunyai 8,274 jentera dengan 248,220 ahli yang akan berperanan menyebarkan maklumat kesihatan meliputi cara hidup sihat dan kesihatan kendiri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.