Individu bawa penyokong ke pusat penamaan calon akan dipanggil – Polis

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BUKIT BERUANG 9 Nov : Polis Melaka akan memanggil beberapa individu dipercayai penganjur yang membawa kumpulan penyokong ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Azlan Abu berkata, pihaknya sudah mengenal pasti individu yang terbabit dan memanggil mereka bagi merakamkan keterangan untuk melengkapkan kertas siasatan.

Beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak empat laporan polis sepanjang proses penamaan calon semalam.

“Kertas siasatan ini perlu disiapkan dalam tempoh tiga hari sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.

“Kita akan memanggil beberapa individu dipercayai penganjur untuk diambil keterangan dalam tempoh terdekat ini, selewatnya esok bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Perkara 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Azlan berkata, pihaknya meminta kerjasama masyarakat khususnya pengguna media sosial untuk tidak menyebarkan sebarang berita palsu berkaitan PRN Melaka.

“Kita nasihatkan agar semua patuh kepada arahan dikeluarkan, jangan sebar sebarang berita palsu berkaitan PRN sehingga menimbulkan kegusaran seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kami pihak polis tidak memihak kepada mana-mana pihak, tugas kami berlandaskan undang-undang selain tiada istilah ‘double standard’,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post Unjuran keperluan pegawai perubatan tetap dikemuka kepada JPA, Kementerian Kewangan
Next post Rakyat perlu hukum politik katak – MCA
Ubah saiz-+=