Individu 18 tahun ke atas dan belum divaksin boleh ‘walk-in’ ke PPV awam dan mega esok

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 10 Sept – Individu 18 tahun ke atas termasuk bukan warganegara yang belum divaksin boleh hadir secara ‘walk-in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega dan awam, bermula esok.

Exco Kesihatan negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia berikutan penerima vaksin berdaftar di MySejahtera telah berkurangan dan masih ada 69,972 daripada 677,000 individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing belum menerima vaksin.

Katanya, justeru individu terbabit diminta hadir ke PPV berhampiran kediaman masing-masing dan kebenaran secara ‘walk-in’ itu bagi memastikan program vaksinasi di Melaka mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat.

RAHMAD

“Semua warganegara berumur 18 tahun ke atas yang belum menerima tarikh janji temu boleh pergi ke mana-mana PPV Awam dan Mega di negeri ini bermula esok.

“Manakala bukan warganegara usia sama dan tiada tarikh janji temu vaksin boleh pergi PPV mega Stadium Hang Jebat dan Stadium Mini Jasin mulai esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri berkata, penerima vaksin berusia 18 tahun perlu mendaftar menerusi MySejahtera manakala bagi yang belum menerima sebarang janji temu atau tidak mempunyai telefon pintar dibenarkan untuk datang secara terus ke PPV berkenan.

“Kehadiran secara ‘walk-in’ dibenarkan bermula dari 8.30 pagi hingga 4 petang dan mereka perlu membawa kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan penerima vaksin, telefon pintar yang berdaftar dengan MySejahtera serta dokumen berkenaan penyakit kronik (sekiranya ada) ke PPV,” katanya.

Sementara itu Rahmad berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sedang mengesan kira-kira 54,000 penerima vaksin yang mendaftar dengan MySejahtera, namun tidak hadir untuk divaksin.

Jelasnya, antara alasan dikesan adalah mendaftar menerusi aplikasi lebih daripada sekali dan ada yang memaklumkan tidak mahu menerima vaksin tetapi didaftarkan oleh anak masing-masing.

“Ada yang memaklumkan mereka mendaftar menggunakan nombor telefon yang salah dan tidak dapat dihubungi.

“JKN sedang berusaha mendapatkan senarai nama mereka berpandukan maklumat yang ada menerusi satu pasukan khas yang ditubuhkan.

“Jika dapat dihubungi mereka boleh hadir ke PPV terdekat dan sebaliknya akan dimasukan dalam senarai tidak daftar dan tidak tampil,” katanya.

Katanya, berikutan senarai penerima vaksin yang semakin berkurangan, JKN bercadang menutup beberapa PPV awam dan mengekalkan operasi PPV mega.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post BKC: Sejumlah RM12.3 bilion disalurkan kepada hampir RM10 juta penerima – Tengku Zafrul
Next post Pemandu lori rempuh lima kenderaan didakwa memandu di bawah pengaruh dadah
Ubah saiz-+=