Indahnya seni pantun
Gadis ayu bersopan santun,
Berkain batik berbaju kebaya;
Baik-baik menyusun pantun,
Supaya tak rosak seni budaya.
Itu antara bait-bait pesanan keturunan kelima masyarakat Baba dan Nyonya Melaka yang masih mengekalkan seni pantun atas dasar menghargai budaya dan sayangkan warisan dianugerahkan kepada dirinya.
Meskipun usianya telah pun senja, Henry Gwee Thian Lye, 84, belum pernah puas untuk mendidik anak bangsa agar warisan berpantun yang diselitkan dalam irama Dondang Sayang di mana ketika dahulu ia menjadi amalan seharian masyarakat Baba dan Nyonya.
Lebih 40 tahun berkecimpung dalam seni itu Henry atau lebih dikenali sebagai G.T. menyifatkan budaya berpantun dalam masyarakat itu semakin dilupakan saban tahun dan berharap ada usaha segera untuk digerakkan bagi memartabatkan kembali budaya terbabit.
Dilahirkan di Singapura namun berhijrah ke Melaka sekitar tahun 80-an atas dorongan mahu mempelajari pantun dan Dondang Sayang dia tidak pernah berputus asa menimba ilmu warisan itu.
“Semasa kecil bapa saya seorang jaguh pantun, tapi kami adik-beradik tidak diajar cara berpantun, tetapi ayah saya tetap menjadi suri teladan bagi saya sebab dia setiap hari, setiap masa bermulalah dari dalam bilik air pada siang hari sehingga dalam bilik tidur di malam hari sentiasa berpantun.
“Pantun dalam masyarakat Baba dan Nyonya pembayangnya tidak sama seperti kesenian bahasa yang ada dalam pantun orang Melayu. Kebiasaannya pantun bagi masyarakat Baba dan Nyonya mempunyai pembayang yang mudah, ringkas dan molek yang diselitkan dengan pandangan sekeliling, seperti ada unsur bunga, kumbang atau sebagainya.
“Masyarakat Baba dan Nyonya yang ada dahulu mempunyai loghat tersendiri dan menjadikan pantun sebagai amalan dalam perbualan yang menjurus kepada nasihat dan peribahasa Baba dan Nyonya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Baginya, budaya Baba dan Nyonya antara Melaka dan Singapura memang sama tetapi budaya itu sudah lenyap di negara Republik itu dan hanya Melaka yang masih mengekalkan warisan tersebut.
“Hari ini orang-orang Melayu di Singapura amat mengenali saya sebab sering dipanggil untuk menyampaikan pantun semasa majlis perkahwinan mereka sebab saya rasa sudah tiada generasi yang fasih dalam budaya ini,” katanya.
Menurutnya, budaya berpantun dan berdondang sayang dalam masyarakat itu kebiasannya dijadikan sebagai hiburan dalam amalan seharian selain sambutan majlis hari jadi.
“Beli bertih dari Kandang,
Kandang yang ada di Ulu Melaka,
Sangat aneh mata memandang,
cempedak sudah menjadi nangka.
“Makan boleh sebarang makan, cakap tak boleh sebarang cakap, kalau salah keluar dari mulut, 20 ekor kerbau pun tak boleh nak tarik.
“Orang muda rajin-rajin kerja, sekarang ingat dibanting tulang, nanti esok makan di dulang.
“Ini antara bait-bait yang saya masih ingati daripada pesanan nenek saya dahulu menerusi pantun dan peribahasa Baba dan Nyonya dan kata-kata inilah yang sering diselitkan dalam skrip penceritaan semasa pementasan saya,” katanya.
Baginya, Melaka sebagai negeri bertuah sehinggakan warisan itu diangkat sebagai Warisan Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Untuk dapatkan pengiktirafan ini bukannya mudah jadi kita perlu hargai anugerah ini dan perlu ada cara untuk kekalkannya.
“Saya sangat sedih sebab generasi hari ini tidak dapat lagi melihat keunikan budaya ini dan perlu ada pendedahan daripada awal kepada anak-anak muda untuk kembalikan budaya berpantun.
“Pada masa ini juga saya tetap berjuang dan terus menjadi ahli seni di atas pentas dalam pementasan Dondang Sayang, malah giat melatih anak-anak muda agar seni Baba dan Nyonya ini relevan pada masa kini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.