Inap desa di Melaka, beberapa negeri laris sempena cuti sekolah
Di MELAKA, Pengerusi Homestay dan Kampungstay negeri Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata tempahan penginapan konsep itu di negeri berkenaan sudah penuh kerana dibuat beberapa bulan awal oleh pengunjung.
Beliau berkata terdapat 185 bilik membabitkan sembilan kampung di negeri itu yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ketika ini dan pada bulan lepas sahaja, kira-kira 400 pengunjung telah menempah beberapa homestay dan kampungstay di sekitar Alai.
“Saya difahamkan sudah ada tempahan untuk menginap bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri tahun depan. Harga sebuah penginapan homestay dan kampungstay di Melaka sekitar RM90 hingga RM120 semalam dan ada pelancong menempah hingga tiga atau empat hari berdasarkan keperluan mereka,” katanya.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya, 58, dan Rohani Mohamed, 57, berkata mereka memilih untuk tinggal di inap desa di Bukit Rambai kerana harga berpatutan dengan kemudahan yang disediakan.
Pasangan dari Pasir Tumboh, Kelantan itu yang sedang mengikuti konvoi motosikal berkata mereka menyewa inap desa itu dengan harga RM100 semalam dengan tempahan dilakukan lebih awal oleh kelab motosikal berkenaan.
Di PERLIS, pengusaha Inapan Desa Permai di Kangar, Hazaida Zuraini, 46, berkata tempahan inap desanya telah penuh sejak cuti sekolah bermula dengan kebanyakan pengunjung bercuti bersama keluarga.
” … tempahan untuk tahun depan pun sudah ada. Cuti sekolah bulan Februari dan cuti perayaan Krismas tahun depan sudah ada orang tempah rumah inap saya,” katanya kepada Bernama hari ini.
Seorang pengunjung yang menginap di Inapan Desa Permai, Rooslina Ahmad, 63, dari Puchong, Selangor berkata dia bersama 35 ahli keluarganya datang bercuti ke negeri itu bersempena dengan musim cuti sekolah kali ini.
“Kami lebih selesa memilih homestay sebab boleh duduk ramai-ramai, kemudahan serta keadaan di sini pun selesa. Kami daftar masuk semalam dan keluar hari ini, lepas itu kami merancang ke Padang Besar, Wang Kelian dan Tasik Timah Tasoh,” katanya.
Pengurus Inap Desa ‘Orang-Orang Village’ di Arau, Mohd Yusuf Yaakob, 30, berkata penginapan berkonsepkan kabin miliknya juga telah penuh ditempah hingga hujung bulan ini.
“Dapat sambutan meriah, contoh hari ini ada orang tempah kesemua tiga bilik kabin untuk keluarganya,” katanya yang turut merancang menambah jumlah bilik kabin baharu pada masa akan datang.
Di NEGERI SEMBILAN, Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) negeri Haziz Hassan berkata tempahan bilik di kebanyakan hotel di negeri itu meningkat 70 ke 80 peratus ketika musim cuti persekolahan ini, sekali gus memberi pulangan yang baik kepada industri perhotelan negeri.
“Sektor pelancongan ini penting. Kalau ia meningkat, sektor lain turut terkena ‘imbuhan’, contohnya kedai makan, restoran, kedai kraf tangan dan pengangkutan. Negeri Sembilan dekat dengan Melaka dan Lembah Klang jadi kebanyakan pelancong adalah dari sana, malah dari luar negara pun ada,” katanya.
Tinjauan Bernama di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson mendapati pantai peranginan itu menjadi tumpuan orang ramai sama ada dari dalam mahupun luar negara bagi meluangkan masa bersama keluarga masing-masing.
Pelancong dari Beijing, China, Eng Boh Yee, 26, berkata dia bersama rakan-rakannya mengambil kesempatan untuk bercuti ke Malaysia kali ini dan memilih Port Dickson kerana terpikat dengan keindahan pantainya selain berhampiran dengan Kuala Lumpur.
Peniaga minuman di pantai berkenaan, Nur Ayu Naziera Abdullah, 21, pula berkata pendapatan hariannya juga meningkat sehingga boleh mencecah hampir RM3,000 sehari berikutan kehadiran pelancong yang ramai terutama pada musim cuti sekolah. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.