Import ikan bagi permintaan domestik bernilai RM1 bilion setiap tahun
“Kita masih mengimport ikan dari negara jiran termasuk ikan beku … nilainya masih tinggi dan ini berlaku sejak beberapa tahun lepas,” katanya kepada Bernama selepas menerima tiga unit bot peronda di jeti perikanan Labuan di sini hari ini.
Mohd Mohtar Mahamud berkata kerajaan, menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), menggalakkan nelayan tempatan untuk menceburi industri akuakultur berikutan industri itu berkembang pesat di kebanyakan negara kerana ia mampan.
Walaupun nilai import ikan masih tinggi, eksport hasil perikanan dan akuakultur khususnya spesis ikan yang berkualiti tinggi juga hampir sama, katanya.
Mengulas mengenai penangkapan ikan secara haram oleh kapal asing di perairan Malaysia, beliau berkata ia masih terkawal.
“Agensi penguatkuasaan (terdiri daripada) polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), bekerjasama dengan pasukan penguatkuasaan jabatan kami bagi memantau penangkapan ikan yang tidak terkawal dan haram.
“Kewujudan kapal penangkapan ikan asing haram yang menceroboh perairan Malaysia menunjukkan perairan kita masih kaya dengan hidupan marin. Oleh itu, nelayan kita harus meneroka sepenuhnya industri perikanan dalam usaha kita mengurangkan kebergantungan kepada import ikan,” jelasnya.
Jabatan itu katanya akan menambah asetnya yang terdiri daripada bot peronda untuk perlindungan dan pemuliharaan hidupan marin.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.