Sorting by

×

IMPIAN MILIKI RXZ JADI NYATA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 8 Disember – Pernah mengimpikan untuk memiliki motosikal Yamaha RXZ sejak usia belasan tahun, namun atas faktor harganya yang ‘keras’ selain perlu memikirkan komitmen lain membuatkan Nazmi Razin Aziz, 38 melupakan hasrat itu.

Namun benarlah bagai dikata, rezeki tidak pernah salah alamat apabila namanya dipilih Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai pemenang cabutan bertuah yang membawa pulang sebuah Yamaha RXZ klasik pada program RXZ Members Ride Edition 2.0 Melaka Attack 2024 di Dataran MITC, malam tadi.

Anak jati Semabok itu berkata, walaupun tidak pernah memiliki motosikal legenda itu, namun dia tetap menyokong acara himpunan RXZ dengan membeli kemeja-t eksklusif untuk melayakkannya menyertai cabutan bertuah yang disediakan.

“Di Terengganu sebelum ini juga saya turut serta, tetapi mungkin rezeki saya di negeri kelahiran sendiri untuk menang hadiah yang cukup istimewa seperti ini.

“Syukur kepada Allah SWT kerana memakbulkan impian saya selama ini. Memang saya gembira sangat-sangat walaupun merasakan seolah-olah sedang bermimpi.

“Insya-Allah saya akan menjaga motosikal ini dengan baik kerana dianggarkan nilainya sekarang sudah mencecah RM20,000,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan.

Dalam pada itu, Nazmi Razin turut menyambut baik pengumuman Ketua Menteri yang mahu menjadikan Melaka kekal sebagai destinasi penganjuran RXZ Member pada tahun hadapan dan tahun 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia.

“Insya-Allah saya dan rakan-rakan akan terus memberi sokongan dan saya amat berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana menjadikan negeri ini sebagai destinasi himpunan peminat motosikal seluruh negara,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

19000
Kongsi :
Previous post DATANG MELAKA TUNGGANG RXZ, BALIK SELANGOR PANDU X50
Next post MAMI PENANG BAWA ROMBONGAN NAIK ‘RIVER CRUISE’
Ubah saiz-+=