Sorting by

×

Impian miliki rumah sendiri jadi nyata

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

MERLIMAU 21 Mei – Impian Mahadi Long, 47, dan isteri, Norazliana Izni, 42, serta dua anak lelaki memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan selepas permohonan rayuan mereka diluluskan Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Sebagai ketua keluarga Mahadi mahukan sebuah kediaman selesa untuk keluarganya selepas sekian lama menumpang di rumah pusaka bersama adik-beradiknya yang lain.

“Namun pada mulanya saya hampa selepas permohonan kepada LPM pada 2019 ditolak, namun tidak berputus asa sebaliknya saya mengemukakan rayuan.

“Alhamdulillah ini rumah pertama kami dan inilah bakal menjadi syurga kami. Rasa bersyukur apabila dihubungi pihak LPM maklumkan nama saya diluluskan untuk menerima Rumah Sejahtera bersama 49 penerima lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Sejahtera Lipat Kajang, di sini, semalam.

Penyerahan kunci pada majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Pengarah Eksekutif LPM, Mohd Salleh Hamidom.

Sementara itu Norazliana berkata, dia dan suami adalah kakitangan sektor swasta dengan gaji bulanan RM3,000 ke bawah.

Jelasnya, dia dan suami tidak mampu untuk membeli rumah namun tetap bersyukur dengan rezeki yang diterima.

“Meskipun rumah ini belum milik kami sepenuhnya, namun dengan sistem sewa beli dan bayaran bulanan hanya RM200 sebulan, itu sudah membuatkan kami sekeluarga berasa sangat bersyukur. Rezeki tidak pernah salah alamat,” ujarnya sebak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1716
Kongsi :
Previous post Selamat tinggal Syawal 1444H
Next post Isu kiblat masjid lama tersasar selesai sepenuhnya
Ubah saiz-+=