Sorting by

×

Impian kerja terhalang

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

PANTAI KUNDOR 6 Mei. – Hasratnya untuk bekerja mencari rezeki menggunung tinggi tetapi terhalang akibat kecacatan kekal yang dialami selepas kemalangan di tempat kerja pada 2018.

Norazlan Ali, 34, berkata dia kini terpaksa bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Katanya, kemalangan di tempat kerja itu meragut kemampuannya mencari rezeki untuk menyara kehidupan bersama isteri, Raihana Izyan Azman, 33, dan anak tunggal berusia tiga tahun.

Begitupun Norazlan dan isteri reda dan menganggap musibah itu adalah ujian daripada Allah untuk menduga ketabahan mereka menempuh hidup dalam keadaan serba kekurangan.

NORAZLAN menerima sumbangan duit raya daripada Nor Azman Hassan di Dewan JAPERUN Pantai Kundor, Tanjung Kling.

Menyorot kisah duka itu Nurazlan berkata, dia yang bertugas sebagai pembantu tukang masak di sebuah hotel di Tengkera ketika kejadian tidak menyedari ada tumpahan minyak di atas lantai.

“Saya terpijak minyak sebelum jatuh terlentang dan terus masuk ke dalam longkang yang menyebabkan paha kanan patah dan terpaksa menjalani pembedahan untuk dimasukkan besi.

“Waktu itu saya baharu bekerja dua bulan dan masih belum disahkan dalam jawatan serta masih belum mencarum sekurang-kurangnya dua tahun dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk melayakkan saya diberikan perlindungan pencen ilat,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima sumbangan Aidilfitri daripada Pelabuhan Tanjung Bruas Sdn Bhd (PTB) di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor, Tanjung Kling, di sini semalam.

NOR AZMAN menyampaikan duit raya dan bahan makanan sumbangan Pelabuhan Tanjung Bruas Sdn Bhd di Dewan JAPERUN Pantai Kundor, Tanjung Kling. – Foto DIN AHMAD.

Sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan. Yang turut hadir, Ketua Eksekutif PTB, Md Derick Basir dan Pengurus Besar PTB, Mohd Nizam Ibrahim.

Seramai 100 anggota komuniti dalam DUN Pantai Kundor menerima duit raya dan bahan makanan daripada PTB manakala kuih raya disumbangkan Nor Azman.

Nelayan, Mohd Shukri Jaamat, 38, berkata dia bersyukur dan berterima kasih kepada PTB dan JAPERUN berkenaan kerana memilihnya untuk menerima sumbangan itu.

“Saya tidak ada perahu dan jaring, cuma menjadi awak-awak menangkap ikan menggunakan rawai dan jaring dengan pendapatan tidak menentu untuk menyara isteri dan dua anak,”
katanya.

Dia berkata, walaupun tidak banyak, sumbangan berkenaan tetap meringankan bebannya untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

787
Kongsi :
Previous post Polis periksa kenderaan pulang beraya
Next post 70 pemandu teksi dan kereta sewa terima bantuan Aidilfitri
Ubah saiz-+=