Imigresen serbu penempatan pendatang tanpa izin dalam kontena tiga tingkat

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Sebuah penempatan pendatang tanpa izin di dalam kontena tiga tingkat di Brickfields, diserbu Jabatan Imigresen, Sabtu lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata seramai 294 warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal diperiksa dalam serbuan pada 11.30 malam itu dengan 59 daripadanya ditahan.

“Antara kesalahan dilakukan adalah tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah serta peserta Program Rekalibrasi yang ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata dalam serbuan ke atas satu parti persendirian di Bukit Bintang pada 9.30 malam hari sama pula, pihaknya menahan 25 warga asing kerana tidak memiliki dokumen yang sah, pas tamat tempoh dan salah guna pas, hasil pemeriksaan terhadap 171 warga asing.

Beliau berkata parti itu dianjurkan oleh warga tempatan dengan petugas majlis, artis persembahan, pelayan dan tetamu terdiri dalam kalangan warga asing.

“Siasatan mendapati setiap tetamu dikenakan yuran masuk sebanyak RM150 secara dalam talian dan lokasi parti hanya akan dimaklumkan pada hari terakhir kepada tetamu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Parti ini menghidangkan minuman keras dan persembahan yang mencolok mata serta mereka yang membuat persembahan dan tetamu terdiri daripada warga asing yang memegang pas pelajar asing,” katanya.

Menurutnya, beberapa individu warga tempatan termasuk penganjur majlis dan majikan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

Katanya, kesemua 84 pendatang tanpa izin berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang ditahan dalam dua serbuan itu dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2022
Kongsi :
Previous post Tindakan penguatkuasaan mengikut Akta 804 terhadap pengamal pergigian haram
Next post PSBM gerakkan ahli bantu mangsa ribut
Ubah saiz-+=