IMEJ BAHARU PENGAYUH BECA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 28 Ogos – Pengayuh beca yang merupakan antara ikon pelancongan Negeri Melaka bakal berwajah baharu pada tahun hadapan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, ia berikutan pihaknya akan menyaring dan menemuduga setiap pengayuh beca berdaftar di negeri ini sebelum mengeluarkan lesen baharu kepada mereka.

Jelasnya, tujuan saringan dan temuduga itu adalah untuk menambah baik perkhidmatan berkenaan dalam usaha mewajah kawasan pelancongan Melaka.

“Kita telah mengeluarkan notis kepada lebih 170 pengayuh beca berdaftar, di mana mereka akan dipanggil untuk ditemuduga dan disaring pada bulan Oktober sebelum diberikan lesen baharu pada Disember.

“Perkara ini kita lakukan bagi menjaga kualiti pengayuh beca yang menjadi antara ikon pelancongan Negeri Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini

Menurut Shadan berkata pengayuh beca yang melepasi sesi temuduga dan saringan tersebut bukan sahaja diberikan lesen, bahkan turut menerima pakaian seragam.

Katanya, MBMB bukan sahaja menjaga aspek pemakaian pengayuh beca, bahkan pemilihan lagu dan muzik yang dipasang juga turut diberi perhatian.

“Kita lebih menggalakkan pemasangan lagu tradisional berkaitan Melaka dan pada masa sama, mengawal ‘volume’ lagu yang dipasang supaya ia tidak bingit dan mengganggu pelancong lain.

“Selain itu, bermula bulan Disember juga pengayuh beca di negeri ini harus patuh dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Beca MBMB 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1296
Kongsi :
Previous post WAKIL RAKYAT ‘JUTAWAN’ TIKTOK
Next post POLIS MOHON BANTUAN KESAN PELAJAR TINGKATAN DUA DILAPORKAN HILANG
Ubah saiz-+=